KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Kedudukan aset bagi 143 daripada 145 Agensi Persekutuan meningkat 5.5 peratus kepada RM2.838 trilion pada 2024 berbanding RM2.690 trilion bagi tahun sebelumnya, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.
Mengikut laporan itu, berdasarkan analisis penyata kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2024, liabiliti bagi 143 agensi berkenaan mencatatkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus kepada RM0.871 trilion daripada RM0.870 trilion dalam tempoh sama sebelumnya.
“Analisis Audit terhadap perbandingan antara jumlah aset dan jumlah liabiliti Agensi Persekutuan bagi 2024 mendapati sebanyak 139 daripada 143 Agensi Persekutuan (97.2 peratus) mempunyai jumlah aset lebih tinggi berbanding jumlah liabiliti manakala empat menunjukkan jumlah liabiliti lebih tinggi berbanding jumlah aset,” menurut laporan itu.
Antara empat agensi dengan liabiliti mengatasi jumlah aset ialah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dengan liabiliti bersih RM747.16 juta akibat obligasi Nota Jangka Sederhana Islam (Sukuk) yang perlu diselesaikan menjelang 2031 dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dengan liabiliti bersih RM353.28 juta berikutan Dana Pembangunan Lebuh Raya yang belum dibelanjakan serta baki Pinjaman Kerajaan yang belum diselesaikan.
Selain itu, pada 2024 sebanyak 100 daripada 143 Agensi Persekutuan menerima geran berjumlah RM30.490 bilion merangkumi RM16.609 bilion untuk geran mengurus dan RM13.881 bilion bagi geran pembangunan.
Lima agensi yang menerima geran tertinggi dengan nilai keseluruhan berjumlah RM12.339 bilion daripada RM30.490 bilion pada tahun 2024 ialah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
Mengikut laporan itu, bagi tempoh sama, sebanyak 84 daripada 143 Agensi Persekutuan menerima geran pembangunan berjumlah RM13.881 bilion dan direkodkan dalam liabiliti masing-masing.
“Setakat 31 Dis, 2024, sebanyak 92 Agensi Persekutuan, termasuk lapan yang tidak menerima geran itu pada 2024 mencatatkan baki geran pembangunan terkumpul sebagai liabiliti berjumlah RM15.241 bilion.
“Analisis lanjut terhadap baki geran pembangunan terkumpul mendapati lima Agensi Persekutuan mempunyai baki geran pembangunan tertinggi dengan nilai keseluruhan RM4.684 bilion daripada keseluruhan baki berjumlah RM15.241 bilion,” menurut laporan itu.
Agensi berkenaan ialah MARA, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), LPP, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Secara keseluruhannya, Agensi Persekutuan telah menggunakan geran mengurus untuk perbelanjaan operasi pada tahun semasa dan geran pembangunan untuk melaksanakan obligasi yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Bagaimanapun, terdapat baki geran pembangunan pada akhir 2024 disebabkan oleh obligasi pelaksanaan yang belum diselesaikan sepenuhnya dan dalam proses pemulangan semula atau kegunaan tujuan lain tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kewangan,” menurut laporan itu.
Selain itu, sebanyak 21 daripada 143 Agensi Persekutuan mempunyai pinjaman berjumlah RM130.188 bilion pada 2024 dengan enam daripada 21 agensi membuat pinjaman baharu berjumlah RM8.099 bilion pada tahun sama daripada Kerajaan Persekutuan dan institusi kewangan.
Agensi berkenaan ialah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), Bank Simpanan Nasional (BSN), PR1MA, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA).
Laporan berkenaan turut menyatakan lima daripada 21 Agensi Persekutuan mempunyai baki pinjaman tertinggi iaitu RM121.542 bilion (93.4 peratus) berbanding jumlah keseluruhan pinjaman berjumlah RM130.188 bilion.
“Dua daripadanya iaitu FELDA dan Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) mempunyai baki pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM3.663 bilion,” menurut laporan berkenaan.
-- BERNAMA
