EKONOMI

ITRAMAS ANGGAP TARIF AS MASIH TERKAWAL, PERHEBAT RUNDINGAN PEMBUATAN DI AS

23/02/2026 02:52 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Itramas Corporation Sdn Bhd menganggap cadangan tarif global Amerika Syarikat (AS) sebanyak 15 peratus masih terkawal bagi sektor tenaga boleh baharu (TBB), sekali gus membuka ruang kepada syarikat itu mempercepat peluasan ke pasaran AS menerusi pelaburan pembuatan hiliran.

Pengarah Urusan kumpulan Lee Choo Boo berkata kadar tersebut mencerminkan penambahbaikan daripada langkah sebelum ini, susulan Malaysia berdepan kadar tarif lebih tinggi sebelum pelarasan dilaksanakan melalui mekanisme timbal balas.

“Saya fikir tarif global AS sebanyak 15 peratus adalah boleh diurus bagi produk dalam sektor TBB,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Agung AS pada Jumaat memutuskan bahawa tindakan Presiden AS Donald Trump menggunakan kuasa darurat untuk mengenakan tarif timbal balas ke atas hampir semua rakan dagang negara itu adalah tidak berperlembagaan.

Susulan itu, Trump memaklumkan beliau telah menandatangani dokumen untuk mengenakan tarif 10 peratus ke atas semua import dari setiap negara.

Bagaimanapun, pada Sabtu, Presiden AS itu berkata kadar tarif global berkenaan akan dinaikkan kepada 15 peratus daripada 10 peratus, yang akan dilaksanakan di bawah Seksyen 122 dan berkuat kuasa serta-merta, selain dikenakan di atas tarif sedia ada.

Lee berkata ketika ini belum ada kepastian sama ada Malaysia akan dikenakan tarif 19 peratus atau 15 peratus, namun beliau berharap kadar lebih rendah akan dilaksanakan.

Perkembangan itu secara amnya dijangka menyokong prospek eksport Malaysia ke AS, khususnya bagi produk TBB, katanya.

Beliau berkata kesan langsung Itramas terhadap langkah tarif AS ketika ini adalah terhad.

Meskipun syarikat itu pernah mengeksport produk ke AS pada peringkat awal penubuhannya, sumbangan hasil kini lebih tertumpu kepada projek TBB domestik dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, kata Lee.

Selain implikasi tarif, Lee berkata landskap dasar yang sentiasa berubah turut mewujudkan peluang tambahan kepada pemain TBB, termasuk insentif dan rebat di peringkat negeri di AS yang memihak kepada kandungan tempatan serta struktur pemilikan tertentu.

Katanya Itramas kini berada pada peringkat perbincangan lanjut dengan rakan strategik untuk melabur bersama dalam kemudahan pembuatan atau pemasangan hiliran di AS, yang dijangka mempercepat pertumbuhan syarikat itu di pasaran berkenaan.

“Kami menjangkakan ia dapat dilaksanakan dalam tempoh 12 hingga 24 bulan akan datang, tertakluk kepada penyelarasan dengan rakan kongsi. Kami sedang giat mengadakan perbincangan dengan dua rakan kongsi tempatan dan dari segi kawal selia, semuanya telah tersedia,” kata beliau.

Itramas merupakan syarikat teknologi hijau dan TBB berpangkalan di Malaysia yang terlibat dalam pembangunan solar berskala utiliti, infrastruktur tenaga serta inisiatif pembuatan hiliran.

Ditubuhkan pada 1999, kumpulan itu pada awalnya memberi tumpuan kepada pembuatan LED sebelum berkembang ke projek solar berskala besar dan aktiviti pembiayaan hijau berkaitan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan