AM

JAIS TAHAN LELAKI DAKWA DIRI SEBAGAI RASUL

22/02/2026 01:06 PM

SHAH ALAM, 22 Feb (Bernama) -- Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan seorang lelaki yang didakwa mengaku sebagai rasul di sebuah premis di Rawang, semalam. 

Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata lelaki 65 tahun itu ditahan bersama-sama tiga lagi individu termasuk seorang wanita di premis sama.

Beliau berkata siasatan awal mendapati individu itu mendakwa telah bertemu Nabi Adam AS secara nyata pada waktu siang manakala Nabi Muhammad SAW dalam bentuk cahaya pada sebelah malam kepada pengikutnya.

“Selain itu, dia mendakwa bertemu dengan para rasul sebanyak dua hingga tiga kali dalam tempoh seminggu. Kejadian ini didakwa berlaku antara dua hingga tiga tahun lepas di sebuah taman negara di negara ini.

“Pengikutnya menyatakan individu itu utusan Allah dan segala perlakuannya dianggap sebagai suruhan Allah seperti tidak perlu solat atau berpuasa jika letih serta uzur,” katanya menerusi kenyataan hari ini.  

Mohd Shahzihan berkata siasatan dan tangkapan dibuat mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki berlaku upacara atau perbuatan berhubung agama Islam yang bertentangan syarak.

Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 8 enakmen sama kerana disyaki mengisytiharkan diri sebagai rasul serta mendakwa dirinya mengetahui suatu perkara di luar pemahaman dan pengetahuan manusia.

Beliau memaklumkan dengan tangkapan itu, JAIS dijangka menyelesaikan aduan berhubung seorang individu mengaku sebagai rasul dan telah mempengaruhi keluarganya yang tular pada 9 Feb.   

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan