NEW YORK, 21 Feb (Bernama-Xinhua) -- Agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat memberi amaran mengenai ancaman serius kebakaran terhadap keluarga yang dipindahkan di Semenanjung Gaza akibat penggunaan api terbuka untuk memasak di penempatan sementara yang sesak dan berbahaya, lapor Xinhua.
Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) menyatakan bahawa keluarga itu memasak, tidur dan menyimpan barangan mereka dalam ruang yang sempit, amalan yang bukan sahaja menimbulkan risiko kebakaran kepada komuniti, malah mengancam kesihatan penduduk.
“Sejak November 2025, rakan kongsi kami merekodkan sekurang-kurangnya 12 kebakaran di penempatan ini,” menurut OCHA. “Dalam tempoh 10 hari sehingga 17 Feb, petugas kemanusiaan menyalurkan bantuan perlindungan kepada 85 keluarga di Deir al-Balah dan Khan Younis, yang penempatan mereka rosak akibat kebakaran di Bandar Gaza.”
“Keluarga yang dipindahkan memerlukan tempat perlindungan yang mencukupi untuk melindungi mereka daripada cuaca serta memberikan lebih privasi,” menurut pejabat itu. “Rakan kemanusiaan telah berulang kali menegaskan keperluan mendesak untuk beralih kepada penyelesaian yang lebih mampan.”
Agensi kemanusiaan sejak sekian lama menggesa Israel membenarkan lebih banyak bekalan perlindungan yang lebih tahan lama dibawa masuk ke Semenanjung itu.
Pejabat berkenaan berkata di banyak kawasan di Gaza, pergerakan bantuan kemanusiaan masih memerlukan penyelarasan dengan pihak berkuasa Israel. Daripada 67 pergerakan yang diselaraskan antara 12 dan 19 Feb, 43 diluluskan, sembilan ditolak sepenuhnya dan lapan lagi diluluskan tetapi berdepan halangan, dengan enam daripadanya berjaya diselesaikan sepenuhnya.
Di Tebing Barat, OCHA memberi amaran bahawa keganasan berterusan dan amalan paksaan lain oleh tentera Israel serta komuniti peneroka telah mengakibatkan korban jiwa, kemusnahan harta benda dan pemindahan penduduk.
Pejabat itu berkata antara 3 dan 16 Feb, tentera Israel di Tebing Barat membunuh tiga rakyat Palestin, menjadikan jumlah keseluruhan tahun ini kepada sembilan orang, termasuk dua kanak-kanak.
“Dalam tempoh sama, sekurang-kurangnya 86 serangan peneroka Israel direkodkan, mencederakan lebih 60 rakyat Palestin dan menyebabkan kira-kira 146 orang kehilangan tempat tinggal,” menurut OCHA.
Pejabat itu berkata sejak Januari 2023 hingga 16 Feb, sebanyak 880 keluarga Palestin - lebih 4,700 orang - telah dipindahkan di seluruh Tebing Barat akibat serangan peneroka dan sekatan akses.
-- BERNAMA-XINHUA
