POLITIK

KONGRES KHAS DAP TEGASKAN REFORMASI, SOKONG KERAJAAN

20/02/2026 06:34 PM

KUALA KUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Kongres khas DAP pada 12 Julai depan dilihat sebagai perkembangan penting dalam landskap politik semasa, dengan penganalisis berpendapat ia berpotensi memberi implikasi terhadap kelangsungan politik parti itu, dinamika Kabinet, sentimen ekonomi serta strategi menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.

Penganalisis politik Prof Madya Dr Mazlan Ali berpandangan kongres khas itu akan dijadikan landasan strategi politik oleh DAP untuk menegaskan komitmen parti itu terhadap agenda reformasi, dan bukannya sebagai amaran atau ugutan terhadap Kerajaan MADANI.

Beliau berkata langkah mengadakan kongres khas itu lebih tepat ditafsirkan sebagai “ingatan keras” DAP kepada kepimpinan kerajaan supaya mempercepatkan pelaksanaan reformasi institusi yang menjadi antara teras perjuangan parti berkenaan serta Pakatan Harapan (PH) selama ini.

“DAP masih kekal menyokong kerajaan dan Perdana Menteri. Jadi, kongres itu bukan ancaman untuk menarik sokongan, sebaliknya satu tekanan politik bersifat dalaman bagi memastikan janji reformasi dilaksanakan mengikut garis masa yang diharapkan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata kongres itu akan memberi ruang kepada perwakilan menentukan sama ada pemegang jawatan parti perlu melepaskan semua jawatan dalam kerajaan, sambil menegaskan bahawa 40 Ahli Parlimen parti itu akan terus menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal.

Mazlan berkata tindakan itu juga boleh dianggap sebagai satu bentuk “referendum mesra” kepada pengundi DAP, khususnya dalam kalangan masyarakat bandar dan pengundi tradisi parti, yang mahu melihat kemajuan lebih ketara dalam aspek integriti, tadbir urus serta pemisahan kuasa antara institusi pendakwa raya dan Peguam Negara.

Komitmen tersebut merupakan antara reformasi institusi yang terkandung dalam manifesto PH semasa PRU15 pada 2022, antaranya untuk mengelakkan pemusatan kuasa dan menjamin ketelusan dalam pentadbiran kerajaan.

Menurut Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, penganjuran kongres khas berkenaan juga sebagai strategi survival politik DAP susulan prestasi kurang memberangsangkan dalam Pilihan Raya Negeri Sabah November tahun lepas.

“DAP mungkin merasakan antara faktor penolakan pengundi itu ialah persepsi bahawa reformasi belum dilaksanakan sepenuhnya. Jadi, kongres ini menjadi platform untuk menunjukkan parti masih konsisten dan serius memperjuangkan agenda tersebut,” katanya.

Mengulas kemungkinan pemimpin DAP melepaskan jawatan dalam Kabinet sebagai “isyarat” kepada Kerajaan Perpaduan supaya mempercepatkan agenda reformasi, tetapi kekal menyokong kerajaan, Mazlan berkata senario itu tidak semestinya menggugat kestabilan pentadbiran selagi 40 Ahli Parlimen parti berkenaan terus menyokong kerajaan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata selain PH, Kerajaan Perpaduan kini melibatkan gabungan beberapa parti termasuk Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), justeru sebarang pelaksanaan reformasi perlu mengambil kira kepentingan semua rakan komponen.

“Perdana Menteri tidak boleh melaksanakan reformasi semata-mata atas ukuran DAP atau PH tetapi perlu mempertimbangkan rakan-rakan gabungan lain yang juga mempunyai manifesto, dan mungkin bertentangan dengan aspirasi DAP atau PH,” katanya.

Dari sudut dinamika Kabinet, Mazlan berkata sekiranya berlaku pengunduran menteri atau timbalan menteri daripada DAP, kekosongan jawatan itu berkemungkinan diisi oleh parti komponen lain bagi memastikan kelangsungan pentadbiran berjalan lancar.

Katanya ia bukan soal perebutan kuasa tetapi keperluan mengisi kekosongan untuk memastikan fungsi kerajaan dan kementerian tidak terjejas.

Mengulas kesan terhadap ekonomi, beliau berpandangan kongres khas itu tidak akan menjejaskan keyakinan pelabur selagi kerajaan kekal utuh dan majoriti Ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Perpaduan tidak bertukar sokongan.

“Pelabur hanya akan bimbang jika berlaku penarikan sokongan sehingga kerajaan tumbang atau wujud situasi Parlimen tergantung. Selagi itu tidak berlaku, isu ini lebih bersifat masalah dalaman parti dan bukan masalah kerajaan yang memungkinkan kesan negatif kepada ekonomi berlaku,” katanya.

Secara keseluruhan, Mazlan berpendapat kongres khas itu merupakan proses dalaman DAP bagi memperkukuh kedudukan parti di mata pengundi tanpa menggugat kestabilan kerajaan, namun tahap impaknya bergantung kepada keputusan yang dicapai serta cara ia diurus dan dikomunikasikan kepada umum.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan