SEREMBAN, 20 Feb (Bernama) -- Pembukaan Loji Rawatan Air (LRA) Ngoi-Ngoi Fasa 2 bernilai lebih RM200 juta dapat memperkukuh sistem bekalan dan menjamin bekalan air terawat berterusan bagi menampung keperluan pembangunan serta pertumbuhan penduduk akan datang.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata loji baharu berkapasiti 150 juta liter sehari itu memberi manfaat kepada lebih 80,000 akaun pengguna domestik, komersial dan perindustrian serta mampu bertahan sehingga 20 tahun.
Beliau berkata projek LRA Ngoi-Ngoi Fasa 2 bermula pada April 2022 ialah inisiatif utama bagi memenuhi peningkatan permintaan air di Seremban, Nilai dan Sendayan yang berkembang pesat sebagai koridor pelaburan di bawah pembangunan Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV2.0).
“Loji ini amat penting kerana LRA Ngoi-Ngoi Fasa 1 di Sungai Terip kini beroperasi pada kapasiti maksimum dengan margin simpanan yang terhad. Kita berharap LRA ini dapat membantu masyarakat dan negeri untuk terus berkembang lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan loji itu hari ini.
Aminuddin berkata pembukaan LRA itu turut membantu kerajaan negeri memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), khususnya keperluan margin simpanan air sekurang-kurangnya 15 peratus sebagai jaminan keselamatan bekalan.
Dalam pada itu, beliau berkata selain pembinaan loji baharu, usaha menaik taraf kemudahan sedia ada turut dilaksanakan secara agresif bersama-sama Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) termasuk penggantian paip lama yang melepasi jangka hayat di kawasan kritikal.
Operasi pengesanan kebocoran juga terus dipergiat bagi mengurangkan kadar kehilangan air bukan hasil (NRW) yang dikenal pasti sebagai antara punca utama gangguan bekalan dan tekanan air rendah.
“Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, kadar NRW menunjukkan trend penurunan hasil intervensi teknikal berterusan. Ini bukan perubahan serta-merta, tetapi usaha sistematik yang memerlukan pelaburan besar dan kepakaran teknikal,” katanya.
Aminuddin berkata kerajaan negeri juga merangka pelan menyeluruh merangkumi pembinaan loji tambahan secara berperingkat termasuk peningkatan kapasiti simpanan air dan perancangan sumber air alternatif bagi menjamin kemampanan bekalan sehingga 20 tahun akan datang.
Selain itu, kerajaan negeri merancang membangunkan sumber air baharu di Port Dickson bagi memenuhi keperluan industri.
Berhubung simpanan air, Aminuddin berkata Empangan Sepri dan Empangan Sungai Beringin mencatatkan penuh seratus peratus diikuti Empangan Sungai Terip, Empangan Talang, Empangan Gemencheh dan Empangan Teriang (lebih 90 peratus) manakala Empangan Kelinchi 68 peratus kerana berfungsi membantu Empangan Sungai Terip.
-- BERNAMA
