AM

181 INSPEKTOR KESIHATAN PANTAU BAZAR RAMADAN DI KELANTAN

18/02/2026 06:52 PM

KOTA BHARU, 18 Feb (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menugaskan 87 pasukan terdiri daripada 181 inspektor kesihatan untuk membuat pemantauan secara berkala melibatkan 62 lokasi bazar Ramadan di negeri berkenaan tahun ini.

Pengarah Kesihatan Kelantan Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata pihaknya juga akan mengambil sampel makanan secara rawak untuk pemeriksaan kebersihan bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Sampel makanan yang diambil akan dihantar ke makmal untuk mengenal pasti tahap kebersihan juadah yang dijual.

“Pengambilan sampel makanan ini dibuat secara berkala dan tidak semestinya disebabkan berlaku kes keracunan makanan,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Kanser Sedunia 2026 Peringkat Negeri Kelantan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini hari ini.

Dr Mohd Azman berkata pihaknya juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan telah mengadakan taklimat kepada peniaga terlibat termasuk memberi suntikan tifoid dua minggu lepas.

Beliau ketika mengulas mengenai program itu berkata kanser payu dara adalah kanser tertinggi direkodkan di Kelantan, iaitu 25 peratus daripada keseluruhan 6,172 kes kanser dalam tempoh 2017 hingga 2021.

“Jumlah ini berikutan kesedaran masyarakat di Kelantan semakin meningkat untuk membuat saringan awal selain teknologi pengesanan kanser yang lebih berkesan digunakan bagi mengesahkan pelbagai penyakit kanser.

“Situasi ini juga mendorong JKNK lebih giat memberi kesedaran kepada masyarakat agar peka dengan keadaan kesihatan masing-masing dan berjumpa doktor pada awal simpton dikesan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan