AM

JENAZAH LIMA SEKELUARGA KES BUNUH DITUNTUT KELUARGA UNTUK DIKEBUMIKAN

18/02/2026 05:23 PM

KUANTAN, 18 Feb (Bernama) -- Jenazah lima sekeluarga yang terbabit dalam insiden pembunuhan menyayat hati di kawasan perumahan Cerating Damai di sini telah dituntut oleh ahli keluarga petang ini selepas proses bedah siasat selesai. 

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah berkata semua urusan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan telah selesai pada kira-kira 4 petang. 

Beliau berkata jenazah suspek yang berusia 32 tahun dan isterinya, Nurul Asshiykin Kamaruzaman, 33, dibedah siasat semalam manakala ibunya, Tuan Kamaria Tuan Puteh, 55, serta dua anak perempuan Nur Saffiyah Humairah, 4, dan Nur Sumayyah Humairah, 2, menjalani prosedur berkenaan hari ini. 

“Jenazah sudah dituntut untuk proses pengebumian di Cerating,” katanya ketika dihubungi hari ini. 

Empat daripada jenazah tersebut telah dibawa ke Masjid Cerating untuk dimandi dan disolatkan manakala satu lagi dibawa ke Masjid Sungai Ular untuk proses sama.

Difahamkan, kesemua jenazah dijangka dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Budaya Cerating untuk dikebumikan.

-- BERNAMA 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan