KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa terkesan dengan bencana banjir yang melanda kawasan Manjoi di daerah Kinta, Perak sehingga menjejaskan rutin harian penduduk.
Anwar berkata beliau menerima laporan musibah itu secara berterusan sejak semalam, dan telah menyalurkan bantuan segera kepada mangsa yang terjejas.
“Situasi banjir di Manjoi begitu memprihatinkan. Sejak semalam saya telah menerima laporan secara berterusan dan telah menyalurkan bantuan segera kepada keluarga yang terjejas akibat dari musibah banjir ini.
“Insya-Allah, saya akan terus memantau dan bersiap siaga, selain terus berdoa agar musibah ini mereda dan warga Manjoi dapat segera kembali ke rutin harian secepat mungkin,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Setakat ini, sebanyak 26 mangsa ditempatkan sementara di Masjid Al-Ghufron, Manjoi selepas kediaman mereka dinaiki air dalam kejadian banjir di Kampung Manjoi dan Kampung Tengku Hussein malam tadi.
-- BERNAMA
