KOTA KINABALU, 17 Feb (Bernama) -- Perayaan kaum dan agama seperti Tahun Baharu Cina menjadi wahana menyemarakkan semangat muhibah dan perpaduan dalam kalangan rakyat khususnya di Sabah, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata rakyat di negara ini selama ini hidup secara aman dan harmoni kerana masing-masing berpegang kepada prinsip perlu saling menerima dan saling menghormati.
“Cina sambut Tahun Baharu Cina dan kita meriahkan bersama. Bajau, Brunei sambut Aidilfitri, Cina dan Kadazan juga raikan bersama,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Armizan berkata sempena kedatangan Tahun Kuda, beliau mengambil peluang menziarahi wanita warga emas, Lu Wong Siew, 87, yang juga seorang tukang gunting rambut di pekan Papar.
“Beliau seorang yang selalu pegang kepala saya masa zaman sekolah rendah dan menengah dulu. Kenapa beliau pegang kepala saya, bukan sekali, tetapi berkali-kali. Hal ini kerana Aunty Wong Siew adalah pemilik salun yang telah buka sekian lama di Papar.
“Saya selalu gunting rambut di kedai beliau suatu ketika dahulu. Bukan saya sahaja, tetapi arwah ibu saya juga disolek oleh beliau pada majlis perkahwinan dulu.
“Beliau berbangsa Cina, saya anak Bajau. Perbezaan ini tidak pernah menjadi masalah bagi kami dan bagi masyarakat di Papar secara keseluruhannya,” katanya.
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar turut mengajak rakyat mengikut sifat kuda yang terkenal dengan ketangkasan, kepantasan bekerja sepenuh tenaga dan semangat yang berkobar-kobar.
“Dalam kalendar Cina, tahun ini adalah tahun kuda api. Maka, marilah kita ambil semangat kuda api dan terjemahkan dalam budaya kerja kita dan yang paling penting juga, sama-sama kita jaga dan pelihara keamanan, kemakmuran dan perpaduan semasa kita,” katanya.
-- BERNAMA
