JERTIH, 17 Feb (Bernama) -- Seorang kontraktor lelaki kerugian hampir RM108,000 selepas diperdaya sindiket tawaran tender tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Rozaime Ab Rahim berkata pada 3 Feb lepas, mangsa yang berusia 47 tahun telah menerima mesej melalui WhatsApp daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai perolehan di sebuah agensi kerajaan di daerah ini.
Beliau berkata suspek menawarkan tender membekal mesin jana kuasa elektrik, kononnya untuk kegunaan agensi berkenaan.
“Mangsa telah bersetuju membeli lima jana kuasa mudah alih dengan nilai keseluruhan RM107,995 dan kemudian mangsa telah melakukan sebanyak lima transaksi wang ke dalam akaun atas nama sebuah syarikat seperti yang diberikan suspek.
“Mangsa memasukkan wang tersebut dalam tempoh dua hari antara 10 hingga 12 Feb lepas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Rozaime berkata mangsa kemudian menghubungi pejabat agensi itu untuk mendapat pengesahan berhubung tender berkenaan, namun dinafikan terdapat tender seperti itu dikeluarkan buat masa ini.
Beliau berkata mangsa mengesyaki ditipu telah tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, semalam.
"Sehubungan dengan itu, polis ingin menasihati orang ramai agar tidak mudah terperdaya dengan tender atau projek yang menjanjikan keuntungan segera tanpa pengesahan daripada agensi berkaitan.
'’Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
-- BERNAMA
