FOKUS BERNAMA

RAI SERENTAK DUA PERAYAAN BERBEZA KAUM PERKUKUH KEUNIKAN MALAYSIA DI MATA DUNIA

16/02/2026 04:20 PM


From Soon Li Wei

Bagi umat Islam dan kaum Tionghoa di Malaysia, tahun ini  memiliki keistimewaan tersendiri, kerana dalam tempoh tiga atau empat hari akan datang ini, mereka akan bersama-sama meraikan dua sambutan berbeza budaya dan agama.

Jika esok dan lusa masyarakat Cina meraikan ketibaan Tahun Kuda dalam kalendar lunar mereka, pada 19 Feb pula umat Islam dijangka menyambut kedatangan Ramadan, bermakna kemeriahan berganda buat majoriti rakyat negara ini dan  menyerlahkan lagi keindahan keharmonian di Malaysia sebagai sebuah negara berbilang bangsa, budaya dan agama

Menariknya, keceriaan berganda ini juga berterusan dalam tempoh lima tahun mendatang, khususnya bermula 2029 hingga 2031, apabila umat Islam dan kaum Tionghoa menyambut “Gong Xi Raya”, iaitu sambutan serentak Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina.

Berlaku dalam pusingan 33 tahun, Malaysia sebelum ini meraikan “Gong Xi Raya” pada 1963 hingga 1965, dan dari 1996 hingga 1998. Mengimbau sambutan 33 tahun lalu, penulis ketika itu masih di sekolah rendah, namun kenangan menghiasi bilik darjah dengan kraf tangan berbentuk sampul angpau dan duit raya masih segar di ingatan. 

Meriahnya lain macam.

pic-2

 

PELUANG PENIAGA JANA PENDAPATAN BERGANDA

Sambutan perayaan berganda ini juga bermakna limpahan rezeki bagi sektor peruncitan, apabila dua kaum utama negara berbelanja “lebih” sedikit berbanding kebiasaan bagi menyediakan kelengkapan untuk meraikan perayaan masing-masing. 

Dalam industri perhotelan dan makanan pula, sambutan dua perayaan utama secara berturut-turut ini bukan sekadar durian runtuh dari segi jualan, tetapi juga ruang untuk penggiat mengasah kreativiti dalam hidangan mereka bagi menarik pelanggan merentasi kaum, selain mengetengahkan keunikan Malaysia kepada pelawat asing yang datang bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026. 

Cef Eksekutif Sunway Resort Hotel Peter Lee dan Penolong Eksekutif Persediaan Makanan (executive sous chef) Afham Afiq Maya Matkhir masing-masing berpendapat sambutan serentak Tahun Baharu Cina dan bulan Ramadan merupakan “bonus” buat industri makanan dan minuman (F&B) serta perhotelan untuk menyerlahkan kepakaran masing-masing dalam menggabungkan dua budaya pada satu hidangan.

Menurut Lee, mereka menjadikan masakan Sichuan yang pedas sebagai inspirasi hidangan bufet Tahun Baharu Cina dan Ramadan, yang masing-masing bertemakan “Roots of Prosperity” dan “Jemput Makan”.

Masakan Sichuan dari barat daya China itu mengetengahkan kambing sebagai antara hidangan utama untuk kedua-dua promosi, namun diolah bertepatan dengan budaya tempatan.

pic-3

“Kami akan menghidangkan ‘The Sichuan Roasted Whole Lamb with Pau’ dan ’Sichuan Shaokao (daging panggang) pada tahun ini. 

“Keseluruhan kambing diperap dengan campuran istimewa buatan sendiri yang terdiri daripada serbuk cili, bawang putih, minyak bijan dan jintan sebelum dipanggang dan boleh dinikmati bersama-sama sos pencecah yang diperbuat daripada daun ketumbar Cina dan cili padi. 

“‘Sichuan Shaokao’ pula merupakan daging dan makanan laut yang dicucuk lidi serta disalut dengan campuran rempah yang harum, kemudian dipanggang dan dihidangkan segar mengikut pesanan,” katanya kepada Bernama. 

Sementara itu, Afham Afiq menjelaskan untuk promosi Ramadan  “Jemput Makan”, kambing panggang dalam menu “Sichuan Roasted Whole Lamb” itu disediakan mengikut gaya Sichuan, namun rasanya seperti kambing golek. 

“Kami akan menghidangkan menu yang sama (seperti bufet Tahun Baharu Cina) sepanjang Ramadan nanti, tetapi digandingkan dengan nasi minyak bagi menggantikan pau kukus,” katanya. 

“Ketika bulan Ramadan dan sambutan Tahun Baharu Cina, banyak syarikat korporat akan mengadakan acara makan-makan dan berbuka puasa. Inilah peluang mereka untuk meraikan kedua-dua perayaan itu dengan juadah dan makanan tradisi gabungan dua budaya di sini.

“Selain itu, jika mereka ingin menjamu tetamu dari luar negara, inilah masanya untuk mereka merasai kemeriahan dan keharmonian suasana rakyat Malaysia meraikan dua perayaan terbesar menerusi makanan tradisional,” tambah Lee. 

pic-4

 

PUSAT BELI-BELAH HIDUPKAN SAMBUTAN 

Kreativiti dalam mengadun dua budaya berbeza menjadi satu persembahan seni ini tidak terbatas pada industri F&B semata-mata. Kompleks beli-belah juga pasti mahu menonjolkan kehebatan masing-masing dalam menghiasi ruang dalaman premis mereka bagi memeriahkan lagi sambutan perayaan.

Lebih-lebih lagi venue ini menjadi tumpuan warga kota yang tidak pulang ke kampung untuk beraya, atau menyambut perayaan di ibu kota. Mereka datang sama ada untuk merakam kenangan berlatarkan hiasan perayaan di kompleks beli-belah, atau berbelanja dan berlibur bagi mengisi ruang cuti umum untuk seluruh rakyat Malaysia itu. 

Malah, kerap kali tular video yang memaparkan kekaguman pelancong asing tentang kemeriahan di pusat beli-belah di ibu kota khususnya, yang dapat dikatakan “berhabis-habisan” dalam menghiasi premis masing-masing pada setiap perayaan.

Untuk sambutan Tahun Baharu Cina kali ini, Berjaya Times Square misalnya, menampilkan hiasan bertemakan era dinasti China, mengetengahkan suasana keanggunan dan kemewahan serta ciri-ciri keemasan istana maharaja.

Menurut operator pusat beli-belah itu Berjaya Assets Berhad, mereka melihat trend menghias kompleks beli-belah semasa musim perayaan semakin mendapat sambutan dengan dekorasi menggemblengkan kekayaan budaya dan warisan multietnik di negara ini.   

pic-5

“Di Malaysia, suasana sangat unik kerana negara kita ada banyak kompleks beli-belah, dan kami (operator) memang berhabis-habisan dalam mempersiap premis bagi menyambut perayaan. Secara peribadi, saya berpendapat ramai yang teruja dan tertunggu-tunggu untuk melihat dekorasi musim perayaan kami,” kata Penolong Pengurus Besar bagi Pemasaran dan Operasi Berjaya Times Square, Alex Liew kepada Bernama. 

Mengambil contoh dekorasi Tahun Baharu Cina di Berjaya Times Square tahun ini, Liew berkata hiasan yang sebegitu mewah dan terperinci jarang dilihat di negara Barat. Malah, katanya,  di China sendiri tidak “semeriah” itu. 

“Saya pasti, pengunjung yang datang ke sini dan melihat hiasan yang kami naikkan, akan berkata mereka tidak pernah melihat dekorasi sedemkian di Beijing, New York ataupun London,” katanya. 

“Malah, kebanyakan ekspatriat dan juga pelancong asing yang datang meluahkan rasa kagum apabila melihat dekorasi di pusat beli-belah setiap kali kita menyambut perayaan. Ada antara mereka yang memuat naik pengalaman itu di media sosial, sekali gus mengangkat keunikan kita ke pentas dunia,” katanya.

Bagi pusat beli-belah Intermark Mall, tema Tahun Baharu Cina berinspirasikan Cina peranakan bertajuk “Heritage in Bloom”, memberi peluang kepada pengunjung untuk menghayati tradisi melalui lensa kontemporari yang mencerminkan optimisme serta permulaan baharu musim perayaan itu.

Pengurus Besar Pemasaran Intermark Mall Evelyn Woon berkata tema yang diinspirasikan daripada kekayaan seni budaya Cina peranakan itu menonjolkan identiti berbilang budaya Malaysia serta sejarahnya yang berlapis-lapis.

“Budaya Cina peranakan ini terbentuk daripada pelbagai pengaruh, menghasilkan sebuah masyarakat yang unik dan mencerminkan sejarah Malaysia yang berlapis-lapis,” katanya dalam kenyataan.

Kempen itu mengubah atrium di aras bawah pusat beli-belah tersebut menjadi satu persekitaran masyarakat Cina peranakan menerusi rekaan flora yang halus serta corak hiasan indah dan berwarna-warni, dengan tarikan utama adalah sebuah rumah peranakan.

“Selain itu, pengunjung juga berpeluang melihat kebaya peranakan yang autentik, kasut nyonya berhias manik yang dihasilkan dengan teliti selain menikmati pelbagai sajian tradisional di Intermark Mall pada musim Tahun Baharu Cina kali ini,” katanya.

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan