AM

PROGRAM KAMPUNG ANGKAT MADANI PERKASAKAN KESEJAHTERAAN, EKONOMI PENDUDUK PULAU BETONG

15/02/2026 03:20 PM

BALIK PULAU, 15 Feb (Bernama) -- Penduduk Kampung Pulau Betong kini menikmati manfaat langsung daripada pelaksanaan 27 projek pembangunan fizikal dan komuniti di bawah Program Kampung Angkat MADANI (KAM) yang dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan.

Menterinya Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata program berkenaan yang dilaksanakan di bawah Belanjawan 2025 menumpukan pada peningkatan kualiti hidup rakyat menerusi penyediaan kemudahan yang lebih selesa, selamat dan mesra rakyat, selain mengukuhkan ekonomi setempat serta pembangunan komuniti secara menyeluruh dan inklusif.

Beliau berkata peningkatan kemudahan itu bukan sahaja dari segi pembaikan infrastruktur asas malah memberi kesan positif kepada aktiviti ekonomi, keselamatan dan keselesaan harian kira-kira 1,200 penduduk kampung.

"Antara projek pembangunan fizikal yang telah siap sepenuhnya termasuk kerja menaik taraf kemudahan komuniti seperti dewan dan perpustakaan desa, pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung bagi murid sekolah agama, naik taraf kemudahan masjid, pembinaan pusat penjaja serta pembinaan dataran yang kini menjadi pusat tumpuan aktiviti komuniti setempat," katanya. 

Beliau ditemui selepas Sesi Turun Padang Kampung Angkat MADANI YB Menteri Kewangan II di Kampung Pulau Betong. 

Katanya kawasan sekitar kampung turut diberi wajah baharu melalui penyediaan lokasi tarikan pelancongan serta pelaksanaan program baik pulih inap desa bagi meningkatkan kapasiti penerimaan pengunjung dan menambah pendapatan isi rumah penduduk.

Amir Hamzah berkata aspek pemerkasaan komuniti turut diberikan penekanan dengan pelaksanaan program pembangunan kemahiran seperti Kursus Pembaikan Enjin Bot, Bengkel Pembaikan Telefon Bimbit, Bengkel Batik dan Bengkel Masakan yang membuka peluang kepada penduduk, khususnya golongan belia dan B40, untuk menjana pendapatan tambahan.

Beliau berkata bagi memperkukuh sektor pelancongan, pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk pembelian bot dan enjin, penyediaan kelengkapan keselamatan, pemasangan lampu dan sistem GPS serta pembinaan jeti bot pelancong bagi menyokong Program Eko Pelancongan Pulau.

Menurutnya, dengan majoriti penduduk Kampung Pulau Betong terlibat dalam sektor perikanan, pertanian, perindustrian dan perkhidmatan awam, pelaksanaan projek itu dijangka meningkatkan peluang ekonomi, memperkukuh daya saing komuniti serta memastikan pembangunan lebih mampan.

Di bawah Belanjawan 2026, kerajaan memperuntukkan RM1 bilion bagi keseluruhan program Ikhtiar MADANI termasuk RM200 juta khusus untuk Program Kampung Angkat MADANI yang melibatkan 500 kampung di seluruh negara.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan