Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 14 Feb (Bernama) -- Kesambungan penerbangan yang lebih baik dan usaha promosi di peringkat global lebih giat akan merancakkan pembangunan pelancongan Labuan, kata penggiat industri pelancongan pulau ini.
Pengerusi Majlis Perniagaan BIMP-EAGA Labuan (Kluster Pelancongan), Jerry Teo berkata kesambungan penerbangan langsung yang terhad dan mahal ke pulau bebas cukai ini mungkin mengekang ketibaan pelancong serta potensi pertumbuhan.
“Penerbangan langsung terus ke Labuan ketika ini sangat terhad dan mahal bagi pelancong. Bagi meningkatkan ketersampaian, kami mencadangkan tambahan penerbangan langsung sekurang-kurangnya dua kali seminggu dari Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuching dan Kelantan,” katanya kepada Bernama hari ini.
BIMP-EAGA merujuk kepada inisiatif kerjasama Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina yang dibentuk pada 1994 bertujuan untuk merangsang pembangunan di kawasan terpencil dan kurang membangun di empat negara Asia Tenggara yang terlibat.
Teo berkata kesambungan udara yang lebih baik bukan sahaja akan merangsang pelancongan domestik, malah juga mengukuhkan kedudukan Labuan sebagai pintu masuk serantau berdasarkan kerangka BIMP-EAGA.
Peserta industri pelancongan Labuan turut menyuarakan beberapa isu yang menjejaskan pembangunan pelancongan pulau itu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dalam sesi libat urus baru-baru ini.
Mengenai promosi digital, Jerry berkata kehadiran Labuan di media sosial ketika ini boleh dipertingkatkan dari segi profesionalisme dan liputan antarabangsa yang lebih menyeluruh.
“Bagi menembusi pasaran seperti China, Taiwan, Hong Kong, Korea dan Jepun, kita perlu menyetempatkan kandungan serta memperluas keupayaan pelbagai bahasa kita. Ini kerana tanpa semua itu, kita akan sukar bersaing dengan destinasi lain,” katanya.
Beliau berkata iklan lama di lapangan terbang wajar ditamatkan dan digantikan dengan visual berkualiti tinggi yang menampilkan tarikan terbaharu Labuan bagi mewujudkan tanggapan pertama yang lebih positif dalam kalangan pengunjung yang tiba.
Teo turut mencadangkan penubuhan dana penggalakan pelancongan khas bagi menyokong pengusaha tempatan yang menghadapi tekanan kewangan selepas beberapa tahun aktiviti pelancongan yang hambar.
“Dana ini akan membolehkan Labuan mendapatkan khidmat pakar untuk mewakili segmen tertentu di pameran antarabangsa seperti aktiviti selam skuba, sekali gus mengatasi jurang kepakaran pemasaran ketika ini,” katanya.
Teo, yang mengambil inspirasi daripada pelantikan pelakon China Fan Bingbing oleh Melaka sebagai duta pelancongan, menggesa Perbadanan Labuan supaya mempertimbangkan pelantikan duta selebriti yang membawa impak tinggi.
“Kita boleh memanfaatkan jumlah peminatnya yang besar untuk meningkatkan profil Labuan serta merangsang permintaan antarabangsa terhadap produk pelancongan dan barangan tempatan apabila kita melantik artis terkenal dari China atau Korea, ” katanya.
Selain itu, beliau berkata walaupun jadual awal jelajah promosi 2026 telah diserahkan kepada Jabatan Pelancongan, Perbadanan Labuan namun senarai itu perlu diperluas bagi memastikan Labuan mengekalkan kehadiran yang kukuh dan konsisten di pasaran antarabangsa sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kita tidak mampu dibayangi oleh destinasi pesaing. Ketibaan pelancong luar negara yang lebih tinggi dan kerap adalah penting,” katanya.
Beliau berkata Jeti Pelancongan Labuan adalah sebagai inisiatif transformatif menyatukan perkhidmatan pelancongan yang sebelum ini berpecah-pecah di bawah hab sehenti berpusat, sekali gus menyediakan pengalaman tempahan yang lancar bagi pelancong bebas.
Mengenai kesalinghubungan, Jerry berkata cadangan pembinaan Jambatan Labuan-Sabah adalah penting bagi menyediakan akses 24 jam ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, menyelesaikan kesesakan transit serta membolehkan pelancong antarabangsa memulakan percutian mereka di Labuan tanpa kelewatan.
-- BERNAMA
