AM

3,000 PELAJAR PARLIMEN TAMBUN TERIMA SUMBANGAN KASIH MADANI BERNILAI RM1 JUTA

14/02/2026 02:55 PM

IPOH, 14 Feb (Bernama) -- Sebanyak 3,000 pelajar pelbagai kaum daripada 16 sekolah di bawah Parlimen Tambun menerima Sumbangan Kasih MADANI berjumlah RM1 juta bersempena sambutan Tahun Baharu Cina dan Ramadan minggu depan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata sumbangan tunai berjumlah RM300 setiap pelajar diharap dapat mengurangkan beban kewangan keluarga mereka menjelang musim perayaan dan Ramadan.

"Atas keprihatinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), kita berjaya memberi Sumbangan Kasih MADANI kepada 3,000 pelajar.

"Ini merupakan Sumbangan Kasih MADANI paling besar dalam sejarah, ini bukan kali pertama tetapi kali ketiga. Kali pertama melibatkan 2,000 pelajar di Parlimen Tambun, manakala kali kedua 2,500 pelajar pada  tahun lepas," katanya.

Nga berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sumbangan Kasih MADANI Parlimen Tambun Sempena Tahun Baharu Cina dan Sambutan Ramadan yang disempurnakan Perdana Menteri di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yuk Choy di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek serta Timbalannya Wong Kah Woh.

Nga berkata pihaknya juga amat menghargai Yayasan Berjaya Cares, yang merupakan badan amal Berjaya Corporation Berhad dalam memperkukuh sinergi awam dan swasta menerusi sumbangan RM1 juta bagi menjayakan inisiatif itu. 

Antara sekolah yang terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Permaisuri Bainun, SMK Dato' Haji Mohd Taib, SMK Tasek Damai, SMK Tanjong Rambutan, SMK Jelapang Jaya, SMK Jati, SMK Tambun, SMK Bandar Baru Putra, SMK Ulu Kinta dan SMJK Cina Poi Lam.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan