AM

SABAH WARTA LEBIH 200,000 HEKTAR TANAH KAWASAN PERLINDUNGAN SEPENUHNYA

14/02/2026 11:04 AM

KOTA KINABALU, 14 Feb (Bernama) -- Sabah memperluas Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) melalui pewartaan kira-kira 216,000 hektar kawasan baharu yang melibatkan hutan simpan komersial dan Tanah Kerajaan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata langkah itu akan meningkatkan keluasan TPA di negeri itu kepada 2.227 juta hektar atau kira-kira 30.06 peratus daripada keseluruhan keluasan tanah Sabah.

“Pencapaian ini bukan sahaja membolehkan sasaran 30 peratus kawasan TPA dicapai, malah meningkatkan imej Sabah sebagai negeri yang mempunyai keluasan TPA terbesar di Malaysia,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Perhutanan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini malam tadi.

Hajiji berkata hutan memainkan peranan penting sebagai pelindung biodiversiti, penstabil iklim serta sumber rezeki kepada rakyat, justeru usaha memperluas kawasan perlindungan perlu diteruskan secara konsisten.

Ketua Menteri berkata langkah itu mencerminkan keberkesanan strategi yang digariskan dalam Dasar Hutan Sabah 2018 bagi memperkukuh usaha konservasi negeri.

Hajiji berkata Jabatan Perhutanan Sabah turut merekodkan kutipan hasil sebanyak RM161 juta pada tahun lepas, dengan RM92 juta atau 57 peratus daripadanya disumbangkan melalui royalti kayu balak.

“Ini membuktikan sektor perhutanan masih kekal relevan di Sabah dan sehubungan dengan itu, saya mahu jabatan memastikan kutipan hasil melalui sektor perhutanan dilaksanakan secara telus dan berkomitmen,” katanya.

Beliau turut menggesa Jabatan Perhutanan supaya terus mempergiat pelaksanaan program dan aktiviti berkaitan alam sekitar bagi meningkatkan tahap kesedaran, pengetahuan serta kemahiran masyarakat mengenai kepentingan pemuliharaan hutan.

Usaha itu, termasuk penyebaran maklumat kepada pelbagai lapisan masyarakat bagi membentuk komuniti yang lebih prihatin terhadap kelestarian hutan dan alam sekitar.

“Saya difahamkan pelbagai program seperti jerayawara, seminar, ekspedisi saintifik dan program outreach, selain persidangan antarabangsa seperti Heart of Borneo (HoB) telah dianjurkan oleh Jabatan Perhutanan Sabah,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan