AM

AIR SELANGOR CATAT PERTUMBUHAN STABIL, PERKUKUH PENGALAMAN PELANGGAN DAN PERKHIDMATAN

13/02/2026 11:09 PM

SHAH ALAM, 13 Feb (Bernama) -- Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mencatatkan pertumbuhan stabil pada 2025, sekali gus memperkukuh daya tahan sistem bekalan air dalam menyokong keperluan pengguna yang semakin meningkat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Air Selangor dalam kenyataan memaklumkan antara pencapaian signifikan ialah penerimaan agensi tersebut sebagai ahli rangkaian Leading Utilities of the World (LUOW), menjadikannya sebagai penyedia perkhidmatan air pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan global tersebut.

Menurut kenyataan itu, pencapaian berkenaan disokong oleh tahap kesiapsiagaan operasi yang kukuh, berteraskan pengurusan aset strategik dan kapasiti infrastruktur yang mampan. 

“Antara pencapaian Air Selangor pada 2025 adalah mencapai kadar Air Tidak Terhasil (NRW) sebanyak 26.76 peratus, menunjukkan penambahbaikan berbanding 27 peratus pada 2024 dan kekal berada di landasan untuk mencapai sasaran pengurangan kepada 25 peratus menjelang 2030. 

“Air Selangor juga berjaya mengekalkan margin rizab air yang sihat iaitu 17.86 peratus setakat Disember lepas, mencerminkan pengurusan bekalan dan permintaan yang berhemah serta daya tahan sistem bagi memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan,” menurut kenyataan itu. 

Syarikat penyedia perkhidmatan itu turut mencatatkan Indeks Paip Pecah sebanyak 2.94 kes bagi setiap 100 kilometer (km) setahun, iaitu lebih rendah berbanding penanda aras antarabangsa 13 kes bagi setiap 100 km serta berjaya mematuhi piawaian kualiti air minuman Kementerian Kesihatan (KKM) 99.96 peratus, melebihi 99 peratus bagi tempoh lima tahun berturut-turut. 

Air Selangor juga mempertingkatkan pembangunan Loji Air Pulih Guna bagi operasi industri dan pusat data, membekalkan perkhidmatan air kepada dua pusat data utama di negeri berkenaan dan mengagihkan 1,963 kotak bantuan yang memanfaatkan 1,443 keluarga serta menyokong 260 pelajar B40 melalui akses pembelajaran digital “Pandai Premium”.

“Selain itu, sambutan perayaan Air Selangor sepanjang tahun memberi manfaat kepada 1,618 penerima. Usaha ini dilaksanakan menerusi program di bawah payung “Sesama Mara”, termasuk program baharu, “Rumah Angkat Semai Nurani” yang menyediakan sokongan holistik kepada rumah kebajikan terpilih,” menurut kenyataan itu. 

Kenyataan itu memaklumkan untuk tahun ini Air Selangor akan terus memberikan tumpuan kepada daya tahan operasi, kemampanan infrastruktur, kebolehpercayaan perkhidmatan dan keterjaminan air, di samping memperluas penglibatan di peringkat antarabangsa.

Syarikat uitiliti itu juga akan memperkukuh peranan kepimpinan industri dan kerjasama strategik bagi menangani permintaan yang semakin meningkat serta cabaran berkaitan perubahan iklim susulan penyertaan dalam forum global utama seperti  Sidang Kemuncak Air Global 2025. 

Dalam pada itu, syarikat tersebut juga akan memperkukuh kesalinghubungan sistem bekalan air bagi memastikan pengagihan semula bekalan berjalan lancar ketika gangguan, di samping meneruskan usaha pengurangan NRW melalui pelaksanaan tender kontrak berdasarkan prestasi yang baharu.

“Selain itu, kemajuan berterusan dalam pembinaan loji rawatan air (LRA) seperti Rasau Fasa 1 (700 MLD, siap menjelang 2027), Labohan Dagang Fasa 2 (200 MLD, menjelang 2029), Langat 2 Fasa 2 (1,130 MLD, menjelang 2030) dan Rasau Fasa 2 (700 MLD, menjelang 2031).

“Aplikasi Air Selangor 2.0 akan terus dipertingkatkan dengan ciri gaya hidup seperti Joy Rewards bagi menggalakkan penglibatan digital yang lebih aktif dalam kalangan pelanggan dan memupuk kesetiaan jangka panjang, termasuk penggunaan e-Bil,” menurut kenyataan itu. 

Air Selangor juga optimis untuk meneruskan momentum kemajuan yang dicapai dan kekal komited mengamalkan piawaian kecemerlangan tertinggi merangkumi keseluruhan rantaian nilai air dengan peningkatan pengalaman pelanggan akan terus menjadi fokus utama. 

-- BERNAMA 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan