PUTRAJAYA, 13 Feb (Bernama) -- Jemaah Menteri hari ini menyambut baik kenyataan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berhubung prosedur pengurusan isu rumah ibadat tanpa kebenaran, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil maklum mengenai Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor yang berlangsung semalam.
“Perdana Menteri mengambil maklum mesyuarat MKN Selangor yang telah diadakan semalam berkait isu pengurusan rumah-rumah ibadat yang tidak mendapat kelulusan tuan tanah persendirian atau pun tanah kerajaan.
“Perdana Menteri menegaskan bahawa proses tindakan bukan oleh orang perseorangan tetapi bersama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), maka Jemaah Menteri menyambut baik kenyataan yang telah dibuat oleh Menteri Besar Selangor mengenai penyelarasan proses terutama pada peringkat PBT untuk menguruskan isu ini. Insya-Allah ia akan dapat diuruskan dengan lebih baik,” katanya dalam sidang media pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.
Amirudin semalam dilaporkan telah mengarahkan agar prosedur yang diguna pakai kerajaan negeri ketika ini bagi isu rumah ibadat tidak sah yang menduduki tanah milik kerajaan negeri, dipertingkatkan.
Beliau berkata di samping itu, tindakan segera pada peringkat PBT serta pengukuhan Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) Jawatankuasa Rumah Ibadat Lima Agama Selangor (LIMAS) yang lebih jelas, perlu dilaksanakan.
Amirudin juga berkata MKN Selangor memutuskan bahawa mana-mana pemilik tanah yang mendapati pencerobohan telah berlaku (di tanah milik mereka) dan rumah ibadat dibina tanpa kelulusan perlu membuat laporan polis.
-- BERNAMA
