Oleh Erma Idayu Mohd Yusop
GEORGE TOWN, 13 Feb (Bernama) -- Tokong Kek Lok Si di Air Itam di sini bertukar menjadi “alam ajaib” yang dilimpahi cahaya berwarna-warni setiap kali menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, dengan ribuan tanglung tradisional menghiasi setiap ceruk dan ruang kawasan rumah ibadat berkenaan.
Pemasangan tanglung yang menampilkan elemen tradisi Cina seperti zodiak tahunan, simbol kemakmuran, keamanan serta kesejahteraan bukan sekadar hiasan perayaan, sebaliknya mencerminkan warisan seni, kepercayaan serta nilai budaya masyarakat Cina yang telah diwarisi sejak ratusan tahun.
Pada waktu malam, cahaya lembut tanglung yang menerangi keseluruhan kawasan tokong mewujudkan suasana magis, sekali gus menarik kunjungan ribuan pelawat tempatan dan pelancong asing yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan keindahan tradisi itu..
Menurut jurucakap tokong, kerja-kerja pemasangan tanglung biasanya mengambil masa beberapa minggu dan memerlukan perancangan rapi bagi memastikan setiap sudut tokong dihiasi secara harmoni tanpa menjejaskan struktur asal bangunan bersejarah itu.
Selain tanglung tradisional, penggunaan lampu diod pemancar cahaya (LED) moden turut digabungkan bagi menambah kesan visual, sambil mengekalkan keaslian elemen tradisi.
“Tahun ini lebih 10,000 tanglung tradisional Cina, selain ribuan lampu neon dan LED dipasang di tokong Buddha terbesar di Asia Tenggara ini bagi menyambut Tahun Kuda pada 17 Feb,” katanya ketika ditemui Bernama.
Semua lampu akan dinyalakan bermula 13 Feb hingga Chap Goh Mei, iaitu sepanjang tempoh kira-kira tiga minggu bagi memberi peluang kepada orang ramai menikmati keindahan hiasan berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Wong Hon Wai berkata tokong berusia 135 tahun itu kelihatan seperti kayangan apabila disimbah cahaya tanglung yang bergemerlapan.
Beliau berkata setiap tahun, ribuan pengunjung berkumpul di sekitar tokong bagi menyaksikan upacara penyalaan lampu, dengan jumlah pengunjung meningkat setiap malam sepanjang tempoh pemasangan.
“Tradisi hiasan tanglung ini memberi impak besar kepada sektor pelancongan Pulau Pinang dan menjadi antara tarikan utama dalam kalendar pelancongan negeri, khususnya sempena Tahun Baharu Cina.
“Berdasarkan rekod, kira-kira sejuta pengunjung dari dalam dan luar negara hadir setiap tahun untuk menyaksikan kemeriahan serta keindahan warna-warni tanglung di Tokong Kek Lok Si,” katanya.
Bagi pengunjung, tarikan itu bukan sahaja peluang merakam gambar kenangan, malah ruang untuk menghayati kepelbagaian budaya dan nilai keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.
Seorang pengunjung Angelina Jia Li, 35, berkata pengalaman melawat Tokong Kek Lok Si ketika musim tanglung memberi pengalaman yang berbeza dan lebih bermakna.
“Ia bukan sahaja cantik, tetapi membuatkan saya lebih menghargai tradisi dan usaha komuniti dalam mengekalkan warisan budaya. Ramai datang bersama keluarga, terutama pada waktu malam, jadi saya pun tidak mahu melepaskan peluang merasai sendiri suasana perayaan yang penuh simbolik dan nilai spiritual,” kata ibu kepada dua anak itu.
Selain menyemarakkan sambutan Tahun Baharu Cina, pemasangan tanglung turut memberi limpahan manfaat kepada sektor pelancongan dan ekonomi setempat, khususnya peniaga kecil di sekitar kawasan Air Itam.
Sebagai mercu tanda budaya dan keagamaan, Tokong Kek Lok Si terus memainkan peranan penting dalam menyatukan masyarakat berbilang kaum melalui keindahan tradisi yang dikongsi bersama, sekali gus menjadikan sambutan perayaan lebih bermakna dan meriah.
-- BERNAMA
