DUNIA

DUA PERTIGA RAKYAT EROPAH BERPENDAPAT NEGARA MEREKA TERANCAM: TINJAUAN

13/02/2026 11:14 AM

ISTANBUL, 13 Feb (Bernama-Anadolu) -- Kira-kira 68 peratus rakyat Eropah percaya negara mereka sedang berdepan ancaman, manakala 42 peratus menyatakan keselamatan peribadi mereka terancam, menurut tinjauan yang dikeluarkan pada Jumaat, lapor Anadolu Ajansi.

Tinjauan Flash Eurobarometer 574 itu dijalankan oleh firma kaji selidik berpangkalan di Brussels, Demoscopy, menjelang Persidangan Keselamatan Munich atas permintaan Suruhanjaya Eropah.

Tinjauan berkenaan mendapati persepsi ancaman tertinggi dicatatkan di Perancis pada 80 peratus, diikuti Belanda dan Denmark masing-masing pada 77 peratus serta Jerman pada 75 peratus.

Mengenai pelaburan pertahanan, 32 peratus responden berpendapat Kesatuan Eropah (EU) tidak mengambil langkah mencukupi, manakala 34 peratus berkata negara masing-masing juga gagal berbuat demikian.

Bagaimanapun, 52 peratus rakyat Eropah percaya EU mampu memperkukuh keselamatan dan pertahanan, dengan tahap keyakinan tertinggi dicatatkan di Luxembourg pada 76 peratus, diikuti Portugal pada 74 peratus dan Lithuania pada 71 peratus.

Keyakinan itu lebih rendah dalam tiga anggota terbesar blok berkenaan -- Itali, Jerman dan Perancis -- apabila 47 peratus responden di Jerman dan Itali serta 40 peratus di Perancis tidak bersetuju dengan pandangan tersebut.

Hampir tiga perempat responden turut menyokong pelaburan pertahanan semasa EU atau mahu ia ditingkatkan, dengan sokongan tertinggi direkodkan di Portugal pada 89 peratus, diikuti Finland pada 83 peratus, Lithuania dan Sepanyol masing-masing pada 80 peratus serta Denmark pada 78 peratus.

Tinjauan Flash Eurobarometer 574 itu dijalankan secara dalam talian antara 5 Jan hingga 12 Jan melibatkan kira-kira 27,000 peserta di 27 negara anggota EU.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan