KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Johor, Kedah dan Perak bagi membantu menangani paras air di tujuh empangan yang kini berada pada paras amaran ekoran cuaca panas dan kekurangan hujan.
TUDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan operasi itu dijalankan secara berperingkat bermula hari ini hingga Ahad, dengan tumpuan pada hari pertama di Johor.
Operasi berkenaan bertujuan membantu Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menangani isu bekalan air.
"Hari ini TUDM bersama METMalaysia dan NADMA berjaya melaksanakan OPA di Johor melibatkan tiga empangan iaitu Upper Layang, Pulai 1 dan Machap, menggunakan pesawat C-130H dari No. 20 Skuadron, Pangkalan Udara Subang.
“Misi OPA bermula pada 12 tengah hari dan selesai sepenuhnya pada 3 petang,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan sama menyebut, kerjasama ini menunjukkan komitmen berterusan TUDM dalam melaksanakan operasi ketenteraan selain peperangan (Military Operations Other Than War - MOOTW) serta fungsi sekunder Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya dalam membantu agensi kerajaan menguruskan bencana dan sebarang operasi yang melibatkan kepentingan serta kesejahteraan rakyat.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara memaklumkan lokasi yang terlibat dengan OPA ialah Empangan Upper Layang, Empangan Pulai 1 dan Empangan Machap di Johor, masing-masing akan dilakukan pada hari ini, esok dan Ahad.
Pada Jumaat dan Sabtu pula, lokasi terlibat ialah Empangan Pedu, Empangan Muda dan Empangan Ahning di Kedah serta Empangan Bukit Merah di Perak.
-- BERNAMA
