KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Sebanyak 96 peratus daripada 1,720 program di 597 institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dinilai sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sejak 2023 hingga 2025 berjaya mencapai status Program Berkesan.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata pencapaian itu jauh mengatasi sasaran nasional sebanyak 70 peratus yang telah ditetapkan sebelum ini.
"Ini adalah bukti sahih dan fakta bahawa pemerkasaan TVET yang Kerajaan MADANI laksanakan sedang membuahkan hasil nyata, meletakkan siswazah kita di landasan kerjaya yang stabil dan berpendapatan tinggi," katanya dalam ucapan pada Majlis Anugerah Institusi TVET 5 Bintang anjuran Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran Dr Kamaruzaman Md Ali.
Beliau berkata peratusan angka pencapaian itu kini digunakan secara nyata sebagai asas Performance-Based Funding (PBF) iaitu prestasi menentukan pembiayaan dengan yang cemerlang diberi keutamaan sementara yang lemah dibantu untuk bangkit meningkatkan keberkesanan.
Ramanan turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima Anugerah Institusi TVET 5 Bintang dan berharap mereka meneruskan kecemerlangan serta inovasi berikutan masa depan negara bergantung kepada kualiti modal insan yang dilahirkan pada masa ini.
Sementara itu, Kamaruzaman dalam ucapan berkata pihaknya berbesar hati meraikan pencapaian cemerlang 62 institusi TVET merentasi pelbagai bidang latihan, melibatkan sejumlah 155 program yang telah berjaya mencapai tahap tertinggi, iaitu 5 Bintang yang menandakan institusi Berdaya Saing Tinggi pada majlis itu.
"Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan keupayaan pengurusan, tenaga pengajar dan pelajar institusi TVET tersebut untuk menzahirkan kualiti terbaik malah menjadi penanda aras dan mercu tanda nasional kepada penyedia TVET lain untuk terus meningkatkan prestasi dan kualiti latihan kemahiran.
"Status 5 Bintang ini adalah pengesahan bahawa institusi TVET bersedia bukan sahaja untuk pasaran kerja tempatan, tetapi juga mampu menghasilkan graduan yang kompetitif di peringkat global," katanya.
Beliau berkata pengiktirafan berprestij itu akan menjadi pemangkin kepada jalinan kerjasama yang lebih erat, aktif dan mampan antara institusi TVET dan rakan strategik industri.
Majlis turut menyaksikan pelancaran Malaysia TVET Rating iaitu satu sistem penarafan bersepadu, komprehensif dan bertaraf antarabangsa yang menghimpunkan semua piawaian sedia ada di bawah satu kerangka nasional.
Ia diperkenalkan oleh JPK sebagai langkah kuantum pertama di bawah Revolusi JPK 2026-2030, sebuah peta jalan baharu untuk melonjakkan TVET Malaysia ke tahap global.
Pada sidang media, Kamaruzaman berkata Malaysia TVET Rating adalah penjenamaan semula kepada sistem penarafan tunggal yang dilaksanakan pada 2021 hingga tahun lepas.
Beliau berkata antara kursus popular yang mencapai status Program Berkesan ialah bidang automotif dan elektrik yang mempunyai permintaan tinggi dalam industri dan menjamin pekerjaan kepada siswazah.
-- BERNAMA
