SUKAN

MOHAMAD ANIQ DINOBAT OLAHRAGAWAN MASUM DUA TAHUN BERTURUT-TURUT

11/02/2026 04:13 PM

PUTRAJAYA, 11 Feb (Bernama) -- Atlet angkat berat negara Mohamad Aniq Kasdan meraih suntikan moral menjelang musim yang padat apabila dinobatkan sebagai Olahragawan dua tahun berturut-turut pada Majlis Anugerah Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2023 dan 2024 di sini, hari ini.

Mohamad Aniq yang juga penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) menewaskan beberapa calon lain untuk membawa pulang piala pusingan, trofi, blazer dan hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 bagi setiap anugerah yang dimenanginya.

Gelaran Olahragawati 2023 pula menjadi milik Aleena Ahmad Nawawi dari UiTM, manakala atlet berbasikal trek Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dari Universiti Malaya (UM) muncul sebagai Olahragawati 2024.

Kedua-dua atlet itu turut membawa pulang masing-masing piala pusingan, trofi, blazer serta hadiah wang tunai bernilai RM3,000.

Mohamad Aniq berkata anugerah yang diterimanya itu menjadi bukti usaha keras dan kerjasama semua pihak, selain mampu menjadi pembakar semangat dalam misinya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 dan Sukan Komanwel Glasgow 2026.

“Saya sangat gembira kerana ini merupakan hasil usaha saya, jurulatih, Majlis Sukan Negara (MSN), Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dan UiTM yang banyak membantu saya.

“Alhamdulillah, ini boleh menjadi batu loncatan untuk saya melayakkan diri ke Sukan Olimpik LA 2028 serta memberikan semangat menghadapi Sukan Komanwel akan datang,” katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan.

Pada majlis itu, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman dan Pengerusi MASUM Datuk Prof. Madya Dr. Mohd Hafiz Yusoff, menyampaikan anugerah kepada para penerima.

Bagi kategori Bintang Harapan 2023, kategori lelaki dimenangi atlet judo Universiti Sains Malaysia (USM) Amir Daniel Abdul Majeed, manakala kategori wanita disandang pemain skuasy UM Aira Azman.

Atlet woodball UiTM Amsyar Sirhan Saifullah Saharruddin dan pelumba berbasikal trek UiTM Anis Amira Rosdi, masing-masing muncul sebagai Bintang Harapan Lelaki dan Wanita 2024.

Selain itu, beberapa lagi anugerah turut disampaikan, antaranya Pengurus Pasukan Terbaik, Pasukan Terbaik, Jurulatih Terbaik dan Tokoh Sukan.

Pada majlis sama, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) turut menerima Anugerah Rakan MASUM 2023/2024.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan