KUALA NERUS, 11 Feb (Bernama) -- Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melancarkan aplikasi Sistem Dialisis Pintar Pendidikan, Rekod Harian dan Pelaporan (EDRIS) bagi menyokong pengurusan rawatan dialisis secara lebih sistematik, cekap dan bersepadu.
Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr Fadzli Adam berkata pembangunan EDRIS itu selari dengan keperluan semasa sistem penjagaan kesihatan negara yang kini berdepan dengan peningkatan jumlah pesakit buah pinggang.
Beliau berkata kegunaan aplikasi berkenaan bukan sekadar platform pendidikan dan simpanan rekod rawatan pesakit, tetapi juga merangkumi fungsi pelaporan serta elemen sistem pintar yang menyokong pemantauan rawatan dialisis secara berterusan dan menumpukan kepada kesejahteraan pesakit.
"UniSZA terus melakar satu lagi pencapaian membanggakan dalam bidang inovasi kesihatan digital dengan pelancaran EDRIS yang pertama seumpamanya di Malaysia.
"Pelancaran ini menandakan kejayaan universiti dalam menterjemah hasil penyelidikan akademik kepada aplikasi praktikal yang memberikan manfaat langsung kepada industri kesihatan dan masyarakat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadzli berkata melalui sistem itu, pesakit dapat mempelajari, merekod dan mengurus tahap kesihatan mereka secara kendiri, manakala jururawat dan profesional kesihatan pula bertugas memantau serta menyokong penjagaan pesakit melalui data berstruktur yang dijana secara berterusan.
Beliau berkata berbeza dengan diari digital konvensional, EDRIS mengintegrasikan elemen pendidikan kesihatan, penjagaan kendiri, pemantauan klinikal dan pelaporan pintar dalam satu platform bersepadu yang direka khusus untuk keperluan hemodialisis.
"Pendekatan ini bukan sahaja memperkasakan pesakit untuk terlibat secara aktif dalam penjagaan kesihatan mereka, malah turut meningkatkan komunikasi antara pesakit dengan pasukan penjagaan kesihatan serta menyokong pusat dialisis dengan penyediaan data yang lebih tersusun dan mudah.
"Selain itu, pembangunan EDRIS mencerminkan komitmen UniSZA dalam menerajui inovasi digital berasaskan kesihatan, di samping menjadi contoh jelas kepakaran akademik dan hasil penyelidikan dapat diterjemah kepada penyelesaian praktikal dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan," katanya.
-- BERNAMA
