AM

BRITISH COUNCIL IKTIRAF INDIVIDU PERINTIS PERUBAHAN MALAYSIA

09/02/2026 09:52 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Empat rakyat Malaysia yang merupakan alumni universiti di United Kingdom (UK) menerima pengiktirafan atas sumbangan mereka dalam perniagaan, sains, budaya dan impak sosial pada Anugerah Study UK Alumni British Council Malaysia 2026.

Dalam kenyataan hari ini, British Council memaklumkan anugerah berkenaan yang kini memasuki edisi ketujuh di Malaysia, memberi pengiktirafan kepada Dr Rebecca Tay Sook Hui bagi kategori Perniagaan dan Inovasi; Dr Hor Chee Peng bagi Sains dan Kelestarian; Matthew Tan Yi Jian bagi Budaya, Kreativiti dan Sukan, serta Tan Shi Min bagi Tindakan Sosial.

Tay yang merupakan alumni University of Nottingham, dipilih atas sumbangan terhadap pelan hala tuju negara bagi pelaksanaan farmakogenomik, membantu membentuk dasar ke arah rawatan masa hadapan dan menjadikan farmakogenomik dapat diakses oleh semua, inspirasi yang tercetus selepas beliau kehilangan ibunya pada usia muda.

“Anugerah ini memberi saya satu platform untuk memperjuangkan ujian genatik bagi menyelamatkan nyawa kerana setiap keluarga berhak mendapat peluang untuk berjuang dan tiada siapa yang seharusnya tercicir. Ia bukan tentang pengiktirafan peribadi,” katanya dalam kenyataan sama. 

Sementara itu, Dr Hor lulusan dari University of Edinburgh diiktiraf atas kepimpinan beliau dalam membantu kesiapsiagaan dan tindak balas hospital terhadap pandemik COVID-19, menyumbang kepada pengurusan krisis yang berkesan dengan pendekatan berasaskan bukti, pemikiran sistem dan kemahiran kepimpinan kolaboratif hasil pendidikan yang diperoleh di UK. 

“Saya wakil pertama daripada Kementerian Kesihatan yang menerima anugerah ini sepanjang tujuh kali penganjuran di Malaysia dan menjadi Sarjana Komanwel pertama memenangi anugerah bagi kategori Sains dan Kelestarian ini,” katanya. 

Lulusan University of Oxford, Yi Jian menerima pengiktirafan atas peranan beliau sebagai pendidik, pembikin dan sarjana filem dalam membentuk generasi baharu pencerita Malaysia. Dokumentari beliau bertajuk “Partition” yang mengisahkan migran wanita Asia Tenggara di Emiriah Arab Bersatu (UAE) terpilih menyertai Festival Filem Pendek Short Shorts dan Asia 2024 yang melayakkan pencalonan Oscar serta Festival Filem Pendek Oxford University 2024 dan turut dicalonkan bagi Filem Dokumentari Terbaik di Festival Filem Future anjuran British Film Institute 2025.

Kejayaan itu selari dengan matlamat beliau untuk mengetengahkan pencapaian Malaysia dalam bidang perfileman di pentas global serta merapatkan jurang antara pengamal kreatif dan penyelidikan, berteraskan kemahiran penyelidikan yang diperolehnya sepanjang pengajian di UK

Shi Min yang merupakan lulusan University College London dan Plymouth Marjon University pula menerima pengiktirafan bagi kategori Tindakan Sosial kerana usahanya menjadikan akses pendidikan lebih saksama menerusi produk inovatifnya, “Wheel of Learning, yang telah memberi impak kepada lebih 1,000 guru dan pelajar serta meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kawasan luar bandar. 

Sementara itu, Pengarah British Council Malaysia Jazreel Goh berkata pemenang tahun ini telah  membuktikan bahawa sesuatu potensi dapat dicapai apabila bakat, matlamat dan peluang disatukan, sekali gus mencerminkan ia bukan sekadar pencapaian peribadi tetapi impak meluas yang dibawa oleh alumni UK di peringkat global. 

“Di British Council, kami berbangga meraikan individu yang mampu merintis perubahan, warga global yang dedikasi mereka terhadap inovasi dan perkhidmatan memberi kesan positif berpanjangan kepada insan serta komuniti secara keseluruhan,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Ajay Sharma CMG berkata Anugerah Study UK Alumni bagi meraikan rakyat Malaysia yang memberi impak bermakna melalui pendidikan mereka di UK, sambil menambah kejayaan mereka adalah bukti bagaimana pendidikan UK membantu membentuk pemimpin, inovator dan perintis perubahan.

Anugerah Study UK Alumni menampilkan empat kategori iaitu Perniagaan dan Inovasi bagi mengiktiraf mereka yang memacu pertumbuhan ekonomi menerusi idea dan perusahaan yang berwawasan; Budaya, Kreativiti dan Sukan, kategori baharu yang diperkenalkan untuk mengiktiraf kecemerlangan dalam seni dan sukan; Sains dan Kelestarian, mengiktiraf alumni yang memperjuangkan penyelesaian bagi melindungi masa depan; dan Tindakan Sosial, bagi menghargai individu yang memperkasa komuniti dan mencetuskan impak positif dalam masyarakat.

Anugerah dwitahunan itu mengiktiraf individu cemerlang yang mampu memberi impak global hasil daripada pendidikan mereka di UK, sekali gus menonjolkan alumni Malaysia yang memacu inovasi, memajukan kelestarian, memperjuangkan perubahan sosial dan mengangkat budaya. Bagi edisi 2026, lebih 1,000 permohonan diterima sebelum disenarai pendek kepada 20 finalis bagi kesemua empat kategori tersebut. 

Edisi tahun ini sekali lagi menghimpunkan kumpulan perintis, pemimpin dan pencetus perubahan, mencerminkan kekukuhan dan jangkauan komuniti alumni UK di Malaysia.

Selain meraikan kejayaan tersebut, anugerah itu turut menekankan nilai pendidikan UK dalam membekalkan graduan dengan kemahiran, perspektif dan kepimpinan yang diperlukan untuk berjaya dalam landskap global yang pesat berkembang.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan