KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Berbaki kira-kira seminggu sebelum sambutan Tahun Baharu Cina pada 17 Feb ini, suasana di pusat beli-belah dan pasar raya seluruh negara semakin meriah apabila masyarakat Tionghua rancak membuat persiapan kelengkapan mereka.
Di JOHOR BAHRU, pusat beli-belah di bandar raya itu bukan sahaja dikunjungi pelanggan tempatan, tetapi juga dibanjiri warga Singapura yang mengambil peluang mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan.
Tinjauan Bernama ke Karnival Tahun Baharu Cina 2026 di Taman Johor Jaya mendapati acara saban tahun yang menjadi tumpuan itu menawarkan pelbagai pilihan kelengkapan perayaan menerusi lebih 70 gerai menjual hiasan perayaan, pakaian, hamper dan juadah tradisi.
Seorang warga Singapura, Aaron Xiang, 40, berkata sudah menjadi kelaziman buat keluarganya yang sanggup menyeberangi Tambak Johor untuk ke karnival itu bagi merasai sendiri kemeriahan selain faktor harga dan kadar tukaran mata wang yang menguntungkan.
Bagi pekerja swasta, Soh Cher Wei, 37, dari Pasir Gudang, karnival itu menjadi destinasi utama keluarganya sejak dua tahun lepas kerana menawarkan pelbagai barangan termasuk 'bak kwa' (dendeng daging salai tradisional Cina), hiasan rumah dan pakaian.
Di KUALA LUMPUR, pemilik kedai pastri Happy Meal di Petaling Street, Shirley Tan, 69, berkata tempahan di kedainya meningkat sejak awal tahun ini berikutan permintaan tinggi bagi kuih tradisional Tahun Baharu Cina.
Mengusahakan perniagaan itu selama 23 tahun bersama anaknya, Tan berkata tart telur, tart nanas, puff durian, aneka jenis kek serta kuih kapit antara produk yang paling mendapat sambutan termasuk daripada pelanggan tetap luar negara seperti Hong Kong, Australia dan China.
Bagi pemilik kedai bunga Wish Flora Garden di Pudu, Chiew Gunchin, 56, pula bunga dan pokok hiasan asli dan palsu yang ditempah dari China seperti pussy willow, bonsai dan buluh, selain hiasan berwarna merah yang dipercayai membawa tuah dan panjang umur menjadi pilihan pembeli di kedainya.
Seorang peniaga hiasan perayaan di PULAU PINANG pula, Kelvin Fong berkata permintaan khususnya bagi hiasan tanglung, pelekat kaligrafi Cina dan sampul merah atau angpau turut meningkat dalam tempoh dua minggu ini.
"Lazimnya setiap tahun orang Cina akan membeli perhiasan baharu untuk perayaan dan harga barangan yang kita jual masih sama seperti tahun lepas… tiada peningkatan," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang Tony Goh berkata tempahan hotel untuk minggu hadapan menunjukkan peningkatan ketara apabila hotel di kawasan bandar serta tepi laut mencatat hingga 75 peratus kadar tempahan dan dijangka terus meningkat hingga Khamis depan.
Di SELANGOR, situasi berlaku sebaliknya apabila Presiden Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA) Dr Sri Ganesh Michiel berkata tempahan hotel agak perlahan termasuk bagi hotel yang menyasarkan pelanggan korporat.
“Tempoh perayaan yang hampir dengan bulan Ramadan mempengaruhi sentimen pasaran dan corak perbelanjaan pengguna. Bagi hotel transit, kadar tempahan bagi minggu 16 Feb hanya kira-kira 20 peratus setakat ini. Walaupun tempahan lazimnya dibuat pada saat akhir, momentum keseluruhan masih perlahan," katanya.
Dalam pada itu, tinjauan di pusat beli-belah di Setia Alam dan Shah Alam mendapati premis dihiasi dengan dekorasi tradisional antaranya menara pagoda, seni bina klasik berbumbung keemasan, tanglung merah, patung kuda emas simbolik sambutan ‘Tahun Kuda’ selain aktiviti seperti pertandingan kostum kanak-kanak, upacara menggaul yee sang, persembahan tarian singa dan pertandingan kaligrafi Cina.
Berita baik buat warga PERAK, apabila harga limau mandarin lebih murah berbanding tahun lepas sekali gus memberi kelegaan kepada peminat buah-buahan itu selain menggalakkan pemborong menambah bekalan bagi memenuhi permintaan pembeli.
Menurut pemilik pemborong buah-buahan Sin Lee di Kampung Jawa, Ipoh, Tan Aik Lee, 55, harga sekotak limau mandarin berkualiti kini RM26 berbanding RM29 tahun lepas, membolehkan pihaknya meningkatkan bekalan kepada 15 kontena berbanding 13 pada tahun lepas bagi menampung permintaan yang lazimnya meningkat pada saat-saat akhir.
Seorang lagi peniaga, Goi Ching Choy, 62, berkata pemborong buah-buahan sentiasa menjadi tumpuan orang ramai pelbagai bangsa termasuk Melayu dan India yang mengambil kesempatan mendapatkan limau mandarin serta buah-buahan segar lain setiap kali menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina.
-- BERNAMA
