BANTEN (Indonesia), 9 Feb (Bernama) -- Media memainkan peranan signifikan dalam membentuk persepsi rakyat, memperkukuh hubungan serantau serta mempromosikan naratif yang membina antara Malaysia dan Indonesia.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata hubungan Malaysia dan Indonesia telah terjalin sekian lama dan ia perlu terus diperkukuh.
“Saya yakin Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI), para ketua pengarang serta media kedua-dua negara akan terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan strategik Malaysia–Indonesia, serta memupuk persefahaman yang lebih mendalam antara rakyat kedua-dua negara.
“Marilah kita bersama-sama memastikan media terus menjadi jambatan yang menyatukan,” katanya ketika sesi dialog bersama Ketua-Ketua Pengarang media Indonesia dan pemimpin ISWAMI di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik) di Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Hamzah Ishak serta Presiden ISWAMI Malaysia Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.
Teo berkata hubungan Malaysia dan Indonesia terjalin kukuh berasaskan sejarah, bahasa dan budaya yang sama dan kerjasama erat itu meliputi pelbagai sektor termasuk ekonomi, pelaburan, pendidikan, pertahanan dan media.
Beliau berkata hubungan antara kepimpinan kedua-dua negara turut memainkan peranan penting dalam memastikan kerjasama terus diperkukuh.
“Saya yakin hubungan baik antara Presiden Indonesia Prabowo Subianto dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus menjadi asas kepada kerjasama yang lebih bermakna pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata Indonesia merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara ASEAN, dengan nilai dagangan melebihi Rp399.6 trilion atau RM111 bilion tahun lepas.
“Hal ini menunjukkan betapa pentingnya hubungan strategik antara kedua-dua negara,” katanya.
ISWAMI yang ditubuhkan pada 2005 oleh wartawan senior kedua-dua negara berfungsi sebagai jambatan dalam memperkukuh kerjasama media serumpun demi manfaat bersama.
-- BERNAMA
