KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Sektor pelabuhan, logistik dan amanah pelaburan hartanah (REIT) antara sektor yang dijangka mencatat prestasi lebih kukuh pada suku keempat 2025 berikutan asas ekonomi Malaysia yang kekal mampan serta peningkatan keyakinan pelabur, menurut Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB).
Bank pelaburan itu berkata seperti lazimnya bagi kebanyakan sektor, prestasi bermusim yang lebih kukuh juga dijangka dicatatkan sektor automotif dan pengguna penerbangan dalam pengumuman keputusan syarikat akan datang.
“Data perdagangan domestik dan luaran menunjukkan momentum pertumbuhan permintaan domestik yang berterusan, didorong oleh perbelanjaan pengguna yang berdaya tahan serta kitaran pelaburan yang berterusan, namun dengan permintaan luaran bersih yang lebih lemah.
“Asas ekonomi yang kukuh, ditambah dengan ledakan global kecerdasan buatan (AI) meletakkan ringgit pada kedudukan yang baik untuk mengatasi prestasi mata wang serantau lain pada 2026,” katanya dalam satu nota hari ini.
Data ekonomi Malaysia bagi suku keempat 2025 serta prestasi keseluruhan tahun dijangka diumumkan Jumaat ini.
Maybank IB berkata eksport elektronik dijangka kekal kukuh tahun ini, sekali gus menyokong penambahbaikan imbangan dagangan negara, manakala pembinaan pusat data terus menarik aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) berskala besar.
Perkembangan itu berlaku seiring dengan kitaran pelaburan domestik yang lebih meluas dan dijangka kekal kukuh sepanjang tahun ini, katanya.
“Kami menjangkakan minat terhadap ekuiti Malaysia kekal tinggi pada 2026, disokong oleh peningkatan kecairan pasaran, sentimen positif terhadap dasar kerajaan serta kebangkitan semula aliran masuk dana asing ke pasaran sedang pesat membangun,” kata bank itu.
Maybank IB berkata sektor penerbangan antara yang menerima dorongan positif daripada pengukuhan ringgit serta harga bahan api jet lebih rendah, manakala pemain sektor pembinaan serta jentera dan peralatan dijangka mencatat prestasi suku tahunan yang lebih kukuh berikutan perolehan projek baharu.
Bank pelaburan itu juga menjangkakan musim keputusan yang lebih baik bagi sektor penjagaan kesihatan (hospital) dan hartanah, dengan tekanan pembayar dilihat mereda sekali gus menstabilkan jumlah pesakit, manakala sektor hartanah dijangka mencatat kemajuan pengebilan yang lebih kukuh.
“Sektor teknologi, merangkumi perkakasan dan perisian, berpotensi mencatat prestasi bercampur dengan turun naik kadar pertukaran asing menjadi faktor utama, namun secara keseluruhan kami menjangkakan kebanyakan syarikat teknologi mencatat keputusan selaras dengan jangkaan.
“Sementara itu, sektor perladangan juga dijangka mencatat prestasi bercampur pada suku keempat 2025, dengan pendapatan utama berkemungkinan menurun secara suku ke suku susulan harga minyak sawit mentah yang lebih rendah, namun syarikat yang mempunyai pendedahan lebih besar di Malaysia Timur berpotensi mencatat prestasi lebih baik,” katanya.
Selain itu, sektor utiliti turut dijangka mencatat prestasi bercampur bergantung kepada syarikat, namun sebahagian besar pemain lain dijangka merekodkan pendapatan yang stabil.
Begitu juga pemain tenaga boleh baharu yang dijangka mencatat prestasi bercampur, dengan pemain kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) didorong oleh pengiktirafan projek yang dipercepatkan, manakala syarikat yang bergantung kepada projek solar atas bumbung berpotensi mencatat prestasi lebih lemah.
Bagi sektor perbankan pula, pendapatan dijangka dicatatkan selaras dengan jangkaan tanpa kejutan besar.
“Bagaimanapun, jangkaan terhadap pelan pengurusan modal bank adalah tinggi, khususnya berkaitan pembayaran dividen yang lebih tinggi,” kata Maybank IB.
-- BERNAMA
