NIBONG TEBAL, 8 Feb (Bernama) -- Kerajaan merancang untuk menambah sehingga 20 Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) baharu di seluruh negara tahun ini bagi memperkukuh sistem sokongan komuniti, khususnya kepada golongan warga emas.
Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata setiap PAWE itu akan menerima geran tahunan berjumlah RM50,000 bagi melaksanakan aktiviti dan menampung kos operasi.
“Sehingga kini terdapat 217 PAWE di seluruh negara dengan keahlian aktif hampir 49,000 orang sekali gus membuktikan keperluan dan kepentingan pusat komuniti seperti itu kepada warga emas untuk menjalankan pelbagai aktiviti.
“Mungkin kita akan menambah 20 PAWE tahun ini yang bergantung kepada peruntukan. Kita mendapat RM50,000 untuk satu PAWE, jadi kami akan lihat peruntukan yang ada dan berapa banyak yang boleh kita buat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Che Murad Sayang ditemui selepas Program dan Semarak Sejahtera Warga Emas PAWE di Jalan Sungai Acheh di sini yang dirasmikan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal.
PAWE ialah premis bagi warga emas menjalankan aktiviti harian dalam komuniti yang bercorak pendampingan sosial dan pembangunan yang juga melibatkan kerjasama strategik dan multi sektoral.
Beliau berkata konsep PAWE ialah memberi kemudahan kepada warga emas untuk menjalankan aktiviti bersama-sama komuniti dengan menekankan elemen program berteraskan komuniti, intergenerasi dan interaktif.
“Objektif PAWE ialah mempelbagai, memperluas kemudahan untuk kesejahteraan, pembangunan serta meningkatkan kualiti hidup selari dengan konsep warga emas aktif dan produktif selain menghargai golongan itu melalui perkongsian pengalaman dan kepakaran mereka,” katanya.
Che Murad Sayang berkata pihaknya juga memberi penekanan kepada pelaksanaan Program PAWE intergenerasi yang bertujuan menghubungkan warga emas dengan generasi muda melalui pemindahan ilmu, kemahiran dan warisan budaya.
Beliau berkata program intergenerasi itu juga berpotensi membantu menjana pendapatan warga emas melalui penghasilan dan penjualan produk seperti kraftangan dan makanan tradisional di samping mengukuhkan hubungan sosial antara lapisan masyarakat.
“Ramai warga emas memiliki pengetahuan dan kepakaran sangat bernilai. Jika tidak dikongsikan dengan generasi muda, ilmu itu akan hilang begitu sahaja. Menerusi PAWE intergenerasi, kita menggalakkan aktiviti seperti kraftangan tradisional, kemahiran harian serta pembuatan makanan warisan agar dapat diwariskan,” katanya.
Che Murad Sayang berkata selain itu, terdapat juga PAWE 3A iaitu (Anywhere, Everywhere dan Anytime) yang diwujudkan bagi membantu komuniti tidak mempunyai premis khusus supaya aktiviti warga emas tetap dapat dilaksanakan melalui kerjasama dengan masjid, surau atau kemudahan komuniti lain.
“Ada komuniti mengatakan mereka tidak mempunyai premis. Oleh itu, kita kemukakan konsep PAWE 3A dan kita beri geran peruntukan sebanyak RM20,000 supaya dapat memberi tumpuan kepada aktiviti pendampingan sosial dan pembangunan warga emas bersama-sama komuniti setempat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kawasan Sungai Acheh dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI di bawah JKM tahun ini dengan pelbagai program akan dilaksanakan sepanjang 2026.
“Tentu sekali sepanjang tahun ini, kita akan lakukan banyak program, terutamanya untuk warga emas, kanak-kanak dan Orang Kurang Upaya (OKU) di sini,” katanya.
-- BERNAMA
