JENAYAH & MAHKAMAH

EKSEKUTIF JUALAN RUGI LEBIH RM50,000 DIPERDAYA SINDIKET TAWARAN TENDER TIDAK WUJUD

08/02/2026 10:38 AM

KUALA TERENGGANU, 8 Feb (Bernama) -- Seorang eksekutif jualan wanita kerugian RM50,750 akibat ditipu sindiket tawaran tender tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 5 Feb lepas, mangsa yang berusia 29 tahun dihubungi suspek lelaki yang menyamar sebagai petugas kerajaan.

Beliau berkata suspek itu menawarkan tender set kerusi dan meja kantin untuk sekolah rendah di daerah Marang.

"Suspek turut memberikan nombor telefon rakannya yang menyamar sebagai pembekal, kononnya untuk membolehkan mangsa mendapatkan barangan pada harga lebih rendah.

"Mangsa yang percaya telah membuat pembayaran sebanyak RM50,750 pada 2.25 pagi semalam ke akaun diarahkan suspek menggunakan wang syarikat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata setelah membuat semakan, mangsa mendapati tiada sebarang tender yang ditawarkan seperti didakwa suspek.

"Mangsa yang menyedari ditipu telah membuat laporan polis pada 5.27 petang semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan