KOTA KINABALU, 7 Feb (Bernama) -- Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick mahu lebih banyak syarikat di negeri ini meningkatkan pematuhan terhadap piawaian antarabangsa.
Timbalan Ketua Menteri Sabah III itu berkata berdasarkan data Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Singapura, hanya 261 daripada 12,742 syarikat perusahaan Malaysia yang menjalankan perniagaan di negara itu adalah dari Sabah setakat Dis tahun lalu.
“Dengan pematuhan kepada piawaian antarabangsa seperti pensijilan Halal, MESTI dan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir urus (ESG), syarikat tempatan akan lebih bersedia menembusi pasaran luar negara,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Industri Sabah (AKIS), di sini hari ini.
Ewon berkata kementeriannya sentiasa menyokong keperluan usahawan dan syarikat tempatan melalui penyediaan dasar serta insiatif yang bersesuaian termasuk memastikan sokongan bagi membawa produk serta perkhidmatan ke pasaran antarabangsa.
Beliau berkata antara fokus kementerian itu adalah untuk membangunkan standard dan kualiti produk serta perkhidmatan usahawan tempatan Sabah.
Pada majlis itu, enam syarikat tempatan dinobatkan berdasarkan pencapaian masing-masing, mereka terdiri daripada Brown Eyes Productio, The Best Solution Management Sdn Bhd, Twinine Sdn Bhd, Kedai Emas Osheen Jaya Sdn Bhd dan Onaki Sdn Bhd, Jetsin Sdn Bhd.
Ahli Parlimen Penampang itu berkata AKIS merupakan platform penting untuk mengiktiraf syarikat tempatan yang menunjukkan pencapaian kecemerlangan serta menjadi contoh kepada pemain industri lain di Sabah.
“AKIS bukan sahaja mengiktiraf kecemerlangan syarikat dan usahawan tempatan tetapi turut menggalakkan daya saing sihat, meningkatkan keyakinan pelabur serta menyerlahkan amalan baik pengurusan dan operasi syarikat,” katanya.
-- BERNAMA
