KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Simposium Parlimen mengenai Akses Pendidikan dan Pekerjaan Sah untuk Pelarian menjadi platform penting bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan Ahli Parlimen dan orang awam mengenai keperluan mendesak pelarian di Malaysia, khususnya kanak-kanak dan belia.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata banyak pelarian muda yang kini tinggal di negara ini tidak mempunyai akses kepada pendidikan, yang boleh menimbulkan cabaran sosial jangka panjang sekiranya isu tersebut tidak ditangani.
“Sekiranya mereka tidak mendapat pendidikan dan terus berada di sini tanpa kemahiran atau peluang, keadaan ini berpotensi menyumbang kepada masalah sosial. Ini merupakan isu yang perlu diberi perhatian serius,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri simposium yang diadakan di Bangunan Parlimen hari ini.
Beliau turut menggesa Ahli Parlimen agar membawa perkara itu ke Jawatankuasa Pemilih berkaitan dan menyediakan laporan menyeluruh, sambil menambah Parlimen akan menyediakan ruang untuk isu tersebut dibahaskan bagi memastikan pemahaman lebih meluas.
“Saya akan memberi ruang kepada anda (Ahli Parlimen) supaya isu ini dapat dibahaskan di Parlimen. Rakyat perlu memahami apa yang sedang berlaku,” katanya.
Dalam ucapannya, Johari memaklumkan Malaysia menempatkan lebih 200,000 pelarian, majoritinya golongan dewasa dalam lingkungan usia bekerja tetapi tidak dibenarkan bekerja secara sah manakala hampir 30 peratus populasi pelarian adalah kanak-kanak, kebanyakkan mereka tidak mempunyai akses kepada pendidikan formal.
“Simposium hari ini mengajak kita untuk berfikir sejauh mana membenarkan pelarian bekerja secara sah serta memastikan kanak-kanak pelarian mendapat akses pendidikan mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara. Kita berada di sini untuk meneroka laluan dan mekanisme yang boleh membantu merealisasikan visi ini,” katanya.
Sementara itu, wakil Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) Louise Aubin menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan Johari bagi penganjuran simposium tersebut, sambil menyatakan Ahli Parlimen memainkan peranan penting dalam menyebarkan maklumat yang tepat kepada komuniti kerana hubungan langsung mereka dengan rakyat.
“Layanan buruk atau baik kepada pelarian tidak akan mengubah kenyataan bahawa mereka telah berada di sini. Menangani keperluan mereka melalui kaedah perundangan adalah langkah paling wajar dalam menguruskan situasi suaka di Malaysia.
“Sebagai wakil UNHCR, saya ingin menegaskan tradisi sejarah Malaysia yang sekian lama menerima pelarian, khususnya dari rantau ini dan apabila konflik dapat diselesaikan dan penyelesaian politik dicapai, pelarian hanya mempunyai satu keinginan iaitu untuk kembali ke tanah air mereka.
“Bagaimanapun, selagi konflik belum dapat diselesaikan dengan selamat, saya percaya mereka boleh terus bergantung kepada Malaysia untuk melakukan perkara yang betul, iaitu memenuhi tanggungjawabnya dan membantu mereka membina kehidupan lebih normal hingga penyelesaian dapat dicapai,” katanya.
Aubin berkata dengan memberikan hak pendidikan, akses perkhidmatan kesihatan serta peluang pekerjaan yang sah kepada pelarian bukan sahaja dapat menstabilkan keadaan tetapi turut memberi manfaat kepada Malaysia secara keseluruhan.
-- BERNAMA
