KUALA NERUS, 7 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu akan melaksanakan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) 2026 melibatkan lapan lokasi terpilih di setiap kawasan Parlimen negeri itu.
Pengarah KPDN Terengganu Mohd Musfi Lat berkata program itu bertujuan menggalakkan peniaga menawarkan juadah Rahmah bagi meringankan kos perbelanjaan sepanjang Ramadan serta penggunaan pembayaran tanpa tunai di bazar.
“Sebagai galakan, peniaga BRR terpilih akan menerima insentif kewangan secara sekali beri RM100 dalam bentuk e-dompet selain RM20 kepada 1,200 pengunjung terawal bagi setiap sesi di bazar terpilih untuk pembelian secara tanpa tunai.
“Setiap lokasi melibatkan dua sesi agihan dan pelaksanaannya melalui operator atau penyedia e-dompet yang bekerjasama dengan kementerian menerusi Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI),” katanya selepas Sesi Jelajah Mesra Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di sini hari ini.
Mohd Musfi berkata lapan lokasi pelaksanaan BRR 2026 ialah Bazar Ramadan Kerteh, Kemaman pada 24 Feb dan 9 Mac, Bazar Ramadan Kampung Raja, Besut (25 Feb dan 10 Mac), Bazar Ramadan Gong Badak, Kuala Nerus (26 Feb dan 13 Mac) serta Bazar Ramadan Binjai Rendah, Marang (1 dan 12 Mac).
BRR 2026 juga dilaksanakan di Bazar Ramadan Paka, Dungun (2 dan 11 Mac), Bazar Ramadan Sungai Tarom, Setiu (3 dan 7 Mac), Bazar Ramadan Kuala Ibai, Kuala Terengganu (5 dan 14 Mac) serta Bazar Ramadan Kuala Berang, Hulu Terengganu (8 dan 15 Mac).
Sementara itu, Mohd Musfi berkata lebih 100 lokasi PJRM akan dilaksanakan di seluruh Terengganu melibatkan 51 pelaksanaan dalam premis dan 65 secara bergerak di semua daerah termasuk kawasan bandar serta luar bandar.
Beliau berkata sebanyak 30,000 hingga 50,000 pengguna dijangka mendapat manfaat langsung menerusi penawaran barangan keperluan asas dengan diskaun 10 peratus hingga 30 peratus berbanding harga pasaran semasa.
Sehubungan itu, beliau berharap rakyat Terengganu mengambil peluang pelaksanaan PJRM Ramadan 2026 dengan maklumat lanjut program boleh diperoleh menerusi laman sesawang https://pjrm.kpdn.gov.my.
Pada perkembangan lain, Mohd Musfi meminta orang ramai tidak bimbang mengenai kenaikan harga santan dan barangan mentah sepanjang Ramadan kerana KPDN sentiasa memantau serta mengawal harga barangan keperluan.
-- BERNAMA
