EKONOMI

BURSA MALAYSIA DITUTUP PARAS TERTINGGI HARIAN DISOKONG AKTIVITI BELIAN SAAT AKHIR

06/02/2026 07:36 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia kembali pulih dengan ditutup pada paras tertinggi harian pada Jumaat, didorong oleh aktiviti belian pada saat akhir dalam kaunter wajaran tinggi terpilih.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 1.81 mata mewakili 0.11 peratus kepada 1,732.83 berbanding paras 1,731.02 ketika ditutup semalam.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka 1.79 mata lebih rendah pada 1,729.23, kemudiannya mencatat paras terendah harian pada paras 1,723.91 pada dagangan awal. Ia kemudiannya bergerak dalam jajaran terhad sepanjang sesi sebelum memperoleh momentum menjelang penutupan dagangan.

Bagaimanapun, dalam pasaran keseluruhan, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 683 daripada 408, dengan 544 kaunter tidak berubah, 1,020 kaunter tidak diniagakan dan 27 digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 3.02 bilion unit bernilai RM3.10 bilion daripada 3.30 bilion unit bernilai RM3.25 bilion semalam.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama cenderung menurun susulan gelombang jualan besar-besaran semalaman di Wall Street, apabila pelabur semakin sangsi bahawa pelaburan besar dalam kecerdasan buatan (AI) akan menjana pulangan dalam tempoh terdekat.

"Ini berikutan pengumuman pendapatan Alphabet dan Microsoft, yang mencetuskan semula kebimbangan terhadap keuntungan jangka panjang perbelanjaan modal besar dalam AI, meskipun kedua-dua syarikat merekodkan hasil melebihi jangkaan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bh  Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI ditutup sedikit lebih tinggi hari ini selepas pulih daripada penurunan sesi awal, sekali gus melanjutkan fasa mendatarnya dan terus mengatasi prestasi kebanyakan rakan serantau dalam persekitaran pengelakan risiko yang ketara merentas ekuiti Asia.

Beliau berkata turun naik intra hari dan pemulihan pasaran hari ini didorong oleh pengalihan minat pelabur antara kaunter, bukannya aliran keluar dana.

"Di peringkat komponen, pergerakan harga kekal kecil dan terpilih, dengan prestasi bercampur dalam kalangan saham perbankan utama mencerminkan pengimbangan semula pegangan dalam sektor itu, dan bukannya pengurangan risiko secara menyeluruh," katanya.

Kesimpulannya, Mohd Sedek berkata pasaran kini melalui pembetulan masa, bukannya pembetulan harga, dengan mencerna keuntungan terdahulu dalam persekitaran risiko global yang meningkat tanpa penilaian semula asas domestik.

Pemulihan pada saat akhir dengan persekitaran prestasi serantau yang lebih lemah menunjukkan bahawa pasaran Malaysia kurang terkesan oleh turun naik global kerana disokong sektor yang bergantung kepada permintaan domestik, katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank naik 7.0 sen kepada RM4.97, IHH Healthcare meningkat 3.0 sen kepada RM8.80, CIMB susut 6.0 sen kepada RM8.46, Tenaga Nasional merosot 4.0 sen kepada RM13.94, manakala Maybank tidak berubah pada RM11.94.

Bagi saham paling aktif, Zetrix AI dan Tanco masing-masing turun 1.0 sen kepada 68.5 sen dan RM1.33, pendatang baharu Pasaran ACE, AmBest Group melonjak 9.5 sen kepada 34.5 sen, Pharmaniaga naik setengah sen kepada 29.5 sen, manakala Velesto Energy tidak berubah pada 30 sen.

Dalam senarai saham untung utama, Petronas Dagangan meningkat 20 sen kepada RM20.50, Perak Corporation melonjak 10.5 sen kepada 68.5 sen, manakala Petronas Gas, Solarvest dan Life Water masing-masing naik 10 sen kepada RM18.20, RM2.37 dan RM1.57.

Sementara itu, kaunter paling rugi, Malaysian Pacific Industries susut RM1.60 kepada RM30.40, Fraser & Neave merosot 94 sen kepada RM32.94, Dutch Lady Milk Industries turun 46 sen kepada RM33.00, Nestle kehilangan 30 sen kepada RM112.30, dan Allianz Malaysia susut 28 sen kepada RM22.20.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 susut  0.96 mata kepada 12,470.99, Indeks FBM Emas turun 4.73 mata kepada 12,639.69, Indeks FBM Emas Shariah merosot 19.83 mata kepada 12,105.49, Indeks FBM ACE menyusut 3.56 mata kepada 4,630.79, manakala Indeks FBM Mid 70 jatuh 64.39 mata kepada 17,234.12.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 2.90 mata kepada 21,476.94, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.06 mata kepada 173.47, Indeks Perladangan susut 18.75 mata kepada 8,323.63, dan Indeks Tenaga berkurang 1.64 mata kepada 739.01.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama merosot kepada 1.68 bilion unit bernilai RM2.80 bilion berbanding 2.28 bilion unit bernilai RM3.32 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 810.24 juta unit bernilai RM88.93 juta daripada 1.07 bilion unit bernilai RM1.33 bilion sebelum ini.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 529.41 juta unit bernilai RM207.76 juta berbanding 482.17 juta unit bernilai RM204.19 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna mencatatkan 231.45 juta saham didagangkan di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (305.62 juta), pembinaan (158.53 juta), teknologi (331.80 juta), perkhidmatan kewangan (129.16 juta), hartanah (164.34 juta), perladangan (20.89 juta), amanah pelaburan hartanah atau REIT (29.37 juta), dana tertutup (23,800), tenaga (115.61 juta), penjagaan kesihatan (80.82 juta), telekomunikasi dan media (39.40 juta), pengangkutan dan logistik (42.04 juta), utiliti (28.35 juta), serta amanah perniagaan (16,800).

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan