AM

217 TAMAN REKREASI MADANI SIAP, 100 LAGI DISASAR TAHUN INI - NGA

06/02/2026 05:23 PM

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya menyiapkan sebanyak 217 Taman Rekreasi MADANI (TRM) di seluruh negara setakat ini, dalam usaha memperkasa kemudahan rekreasi dan meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata pihaknya menyasarkan 100 lagi TRM untuk disiapkan tahun ini.

“Impian 1,000 taman. Setakat hari ini 217 Taman MADANI sudah KPKT siapkan dan tahun ini akan bertambah 100 Taman MADANI lagi,” katanya menerusi hantaran di aplikasi X. 

Dalam hantaran itu, Nga turut memuat naik poster projek naik taraf TRM Taman Komuniti Lebuh Arked, Sungai Petani, Kedah yang siap sepenuhnya pada 20 Okt tahun lepas, dengan kos RM499,800. 

Berdasarkan kenyataan pada poster itu, projek berkenaan adalah inisiatif pembangunan infrastruktur landskap yang optimum di kawasan seluas tiga ekar bagi mewujudkan ruang rekreasi lebih selesa, selamat dan inklusif untuk komuniti setempat. 

Malaysia menyasarkan pembangunan 1,000 TRM di seluruh negara menjelang 2035 dengan peruntukan RM85.6 juta kepada Jabatan Landskap Negara, selari usaha memperluas ruang hijau awam, meningkatkan kesejahteraan komuniti dan menyokong agenda pembangunan mampan.

Pembangunan TRM adalah antara inisiatif utama KPKT bagi mendekatkan kemudahan rekreasi kepada rakyat dan sejak dilancarkan pada 2024, kementerian dilaporkan telah melepasi sasaran tahunan pembinaan 100 taman rekreasi. 

-- BERNAMA 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan