AM

RAJA PERLIS HARAP KERAJAAN NEGERI PERKASA PENGHAYATAN AL-QURAN, TERAS PEMBINAAN UMMAH

06/02/2026 08:25 AM

KANGAR, 6 Feb (Bernama) -- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah kerajaan negeri diharap terus istiqamah dalam memperkasa penghayatan al-Quran sebagai teras pembinaan ummah demi melahirkan umat Islam berjati diri dan berteraskan nilai rabbani.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah al-Quran terpelihara keasliannya hingga hari kiamat dan menjadi teras pembinaan 'Insan Rabbani Bestari' yang berpaksikan kebenaran mutlak.

"Mukjizat Tauhid melalui surah al-Ikhlas menegaskan keagungan Allah SWT sebagai asas pembentukan peribadi rabbani.

"Selain itu, al-Quran juga merupakan perlembagaan agung yang bersifat sejagat, membimbing umat mengurus kehidupan dan mentadbir masyarakat dengan adil, berintegriti serta berhikmah," titah baginda semasa berkenan merasmikan majlis penutup dan pengurniaan hadiah Tilawah dan Hafazan Al-Quran 2026/1447H peringkat negeri di Dewan Warisan di sini malam tadi.

Berangkat sama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah mukjizat sains dan alam dalam al-Quran juga membuktikan Islam menjunjung kecemerlangan ilmu, mengilhamkan manusia agar berfikir, mengkaji dan mentadbir alam mengikut syariat Allah SWT.

"Oleh yang demikian, marilah kita menjadikan majlis ini sebagai titik tolak untuk membudayakan interaksi dengan al-Quran secara istiqamah, khususnya dalam menyambut Ramadan yang bakal tiba melalui pemantapan bacaan dan tadabbur," titah baginda. 

Pada majlis itu, Muhammad Anas Abdul Hadi dan Norsyafirah Jusoh masing-masing diumumkan sebagai johan qari dan qariah, dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000, sijil, plak, hadiah iringan serta kurniaan daripada Raja Perlis serta Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Raja Perlis berkenan mengurniakan hadiah untuk pemenang. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan