KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan tidak akan berlaku sebarang penolakan pendaftaran bagi kanak-kanak berumur enam tahun yang memilih untuk memasuki tahun satu mulai 2027.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata persiapan maksimum sedang dilaksanakan berdasarkan pemetaan kapasiti dan prasarana sekolah di seluruh negara, mengambil kira jangkaan sambutan tinggi ibu bapa terhadap dasar kemasukan awal murid ke tahun satu yang dilaksanakan secara pilihan.
Beliau berkata ibu bapa yang memilih untuk mendaftarkan anak ke tahun satu pada usia enam tahun tidak wajib mendaftarkan anak ke prasekolah, memandangkan jaminan tempat telah disediakan oleh KPM.
“Walaupun ada pilihan, persiapan kita maksimum… jadi tidak akan ada penolakan. Siapa yang terima, siapa yang mohon itu, kita akan masukkan. Tidak perlu mereka untuk mendaftar ke prasekolah. Sebab ini soal pilihan dan kita dah sebut ada jaminan tempat,” katanya.
Fadhlina berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KPM di Dewan Rakyat hari ini.
Dasar kemasukan awal murid ke tahun satu diumumkan sebagai antara lonjakan transformasi pendidikan negara yang akan dilaksanakan mulai 2027, bertujuan memperkukuh kemahiran asas literasi dan numerasi murid di peringkat awal persekolahan.
Fadhlina berkata dasar itu didorong empat pertimbangan utama, iaitu amalan pendidikan global, peningkatan enrolmen awal kanak-kanak, perubahan demografi negara ke arah negara menua serta keperluan membangunkan modal insan berkualiti bagi pasaran tenaga kerja.
Beliau berkata pelaksanaan dasar berkenaan tidak mengubah struktur tempoh persekolahan dengan murid tetap melalui enam tahun pendidikan rendah dan lima tahun pendidikan menengah selaras dengan struktur pendidikan sedia ada.
Fadhlina berkata bagi memastikan kesiapsiagaan prasarana, KPM akan mengoptimumkan kemudahan sedia ada, meningkatkan kapasiti sekolah termasuk pelaksanaan dua sesi di kawasan tertentu serta menukar fungsi bilik khas kepada bilik darjah tambahan sekiranya perlu.
“Di peringkat KPM, kita sudah boleh menjangka mana-mana kawasan yang akan menjadi tumpuan… jadi pemetaan itu akan menjadi lebih kemas sebaik sahaja pendaftaran kita buka dan sekarang ini adalah proses untuk kita mempersiapkan secara keseluruhan kapasiti dan juga prasarana sekolah,” katanya.
Persidangan bersambung Isnin.
-- BERNAMA
