KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Sebanyak 494 tapak kawasan hijau dan lapang yang telah diwartakan di ibu negara dan diterbitkan secara dalam talian kini boleh diakses oleh orang ramai menerusi pelaksanaan inisiatif data terbuka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata langkah itu buat julung kalinya dilaksanakan bagi tujuan meningkatkan ketelusan serta penyertaan awam dalam perlindungan kawasan hijau bandar.
“Pelaksanaan data terbuka ini adalah satu reformasi penting bagi memperkukuh ketelusan dan penyertaan awam. Orang ramai kini boleh mengakses senarai penuh kawasan hijau dan kawasan lapang yang telah diwartakan melalui ikon MyHijau di laman web rasmi Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP),” katanya pada sidang media di Taman Rimba Bukit Kerinchi, hari ini.
Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud serta Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Datin Rahilah Rahmat.
Hannah berkata inisiatif itu sejajar dengan aspirasi yang sekian lama disuarakan oleh masyarakat sivil dan gabungan persatuan penduduk Kuala Lumpur, termasuk hasil sesi libat urus yang diadakan pada 20 dan 21 Jan lepas.
Beliau berkata kawasan hijau dan lapang bukan sahaja berfungsi sebagai ruang rekreasi sebaliknya berperanan menghubungkan komuniti, menyokong gaya hidup sihat serta meningkatkan daya tahan iklim bandar.
“Dengan adanya data terbuka ini, orang ramai dapat mengetahui tapak yang telah diwartakan. Apabila terdapat sebarang usaha untuk menukar kawasan hijau kepada kegunaan lain, mereka boleh merujuk senarai berkenaan dan mengemukakan bantahan. Tanpa akses kepada maklumat tersebut, mereka tidak mengetahui dan tidak dapat bertindak,” katanya.
Hannah pada masa sama memaklumkan sebanyak 256 baki tapak masih dalam proses pewartaan di pelbagai peringkat, bergantung kepada prosedur dan keperluan teknikal setiap kes.
Beliau berkata Jabatan Wilayah Persekutuan menubuhkan Pasukan Petugas Khas Pewartaan Kawasan Lapang dan Hijau bagi meneliti isu teknikal, memperkukuh penyelarasan antara agensi serta memastikan proses pewartaan dapat disegerakan.
-- BERNAMA
