AM

MITRA DI BAWAH KESUMA TIDAK JEJASKAN MANDAT, KEBAJIKAN KAUM INDIA - RAMANAN

05/02/2026 01:07 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Penempatan Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) tidak mengubah mandat asalnya sebagai agensi khusus yang bertanggungjawab merancang dan melaksanakan program pembangunan sosioekonomi masyarakat India.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata sebaliknya, langkah itu memperkukuh komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan agenda kesejahteraan, mobiliti sosial dan pembangunan modal insan masyarakat India dilaksanakan secara lebih bersepadu dan berimpak tinggi.

“Dalam hubungan ini, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) berpandangan penempatan MITRA di bawah KESUMA tidak akan menjejaskan prinsip itu, malah mengukuhkan kedudukan MITRA dengan menyepadukan agenda pembangunan masyarakat India ke dalam kerangka pembangunan sumber manusia negara secara menyeluruh,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) yang ingin tahu jaminan kerajaan bahawa penempatan MITRA di bawah KESUMA tidak akan menjejaskan kepentingan serta kebajikan kaum India berikutan bebanan tugas sedia ada kementerian itu.

Ramanan berkata penempatan itu bagi memastikan perancangan, pelaksanaan dan pemantauan program MITRA dapat dilaksanakan secara lebih teratur, sistematik dan berkesan, selaras dengan dasar pembangunan tenaga kerja, kebolehpasaran, peningkatan kemahiran dan perlindungan sosial di bawah KESUMA.

Pada masa sama, beliau berkata ia turut memperkukuh tadbir urus, ketelusan serta akauntabiliti pengurusan peruntukan dan program MITRA.

Menjawab soalan tambahan Kalam berhubung dakwaan kegagalan menyeluruh permohonan bantuan MITRA pada 2025 di kawasan Sabak Bernam serta isu bantuan kepada pelajar universiti, Ramanan berkata semua penerima manfaat program MITRA dipaparkan di laman sesawang rasmi agensi itu.

Beliau berkata bagi program graduan universiti tahun pertama, bantuan kewangan kira-kira RM4,000 telah disalurkan secara berfasa kepada penerima yang layak.

Bagi program pemberian komputer riba, beliau berkata sebanyak 3,000 unit komputer riba baharu telah dibekalkan kepada pelajar Institusi pengajian tinggi awam dan swasta, yang dibeli oleh Yayasan Didik Negara dan kini sedang diagihkan.

Ramanan berkata permohonan bantuan itu dilaksanakan berdasarkan prinsip first come first serve dan terdapat permohonan melebihi kapasiti bekalan yang disediakan.

“Banyak program yang dilaksanakan sudah pun capai status yang cemerlang,” katanya, sambil menambah sebanyak RM48.874 juta telah disalurkan kepada penerima manfaat setakat ini manakala baki peruntukan masih dalam proses penyaluran.

Menjawab soalan tambahan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai penglibatan pusat khidmat dan pemimpin komuniti setempat, Ramanan berkata peruntukan sebanyak RM100,000 pada 2023 disalurkan bukan mengikut Parlimen tetapi berdasarkan daerah yang mempunyai kepadatan penduduk India tertinggi.

Beliau berkata pada 2024, MITRA melaksanakan pelbagai program lain termasuk pemerkasaan rumah ibadat, bantuan penyelenggaraan sekolah, pembaikan kecil, bantuan kepada pekerja perladangan, program peranti mahasiswa, tadika serta kemudahan awam dan keselamatan kampung India.

Sehubungan dengan itu, Ramanan berkata kementeriannya memberi jaminan pada tahun ini, program peruntukan tambahan secara bersasar akan dilaksanakan semula dengan penglibatan Ahli Parlimen dan pemimpin tempatan.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan