SELAYANG, 4 Feb (Bernama) -- Pemerkasaan teknologi pintar serta pembentukan modal insan berintegriti menjadi tunjang dalam memastikan kelestarian Hutan Simpanan Kekal di seluruh negara, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Syed Ibrahim Syed Noh.
Beliau berkata sinergi antara penggunaan teknologi digital dan kebijaksanaan manusia di lapangan penting bagi memperkukuh pengurusan serta perlindungan khazanah hutan negara.
“Penguasaan teknologi moden seperti Sistem Maklumat Geografi (GIS), penderiaan jauh dan dron amat penting dalam mendepani cabaran perhutanan masa kini.
“Namun, teknologi secanggih mana pun tidak bermakna tanpa kebijaksanaan manusia yang mengendalikannya. Dron boleh memantau dari udara tetapi andalah yang bertindak di lapangan,” katanya pada Majlis Penganugerahan Sijil Perhutanan ke-37 Institut Latihan Perhutanan (Fortrain), di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Zahari Ibrahim serta 113 graduan membabitkan Kursus Sijil Perhutanan Renjer Hutan Sesi 2023-2025 dan Kursus Sijil Perhutanan Pengawas Hutan Sesi 2024-2025.
Syed Ibrahim berkata graduan yang diraikan pada majlis itu disifatkan sebagai “graduan abad ini” bersempena ulang tahun ke-100 penubuhan Fortrain, sekali gus meletakkan harapan besar agar mereka menetapkan tanda aras baharu dalam pengurusan hutan bagi 100 tahun akan datang.
Beliau berkata hingga kini Fortrain telah melahirkan 6,369 graduan yang berkhidmat dalam pelbagai sektor termasuk pengurusan sumber asli, ekopelancongan dan landskap di seluruh negara.
Syed Ibrahim turut menegaskan 2026 merupakan Tahun Pelaksanaan dan Pecutan bagi agenda kelestarian alam, yang menuntut peranan aktif graduan sebagai ejen pelaksana dan penggerak utama kepada hasrat berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Ekonomi atas peruntukan RM20.8 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 bagi pembinaan dua bangunan asrama baharu di Fortrain, yang menyediakan 98 bilik dan mampu menempatkan 196 pelatih pada satu-satu masa.
Penyediaan kemudahan tersebut katanya, bertujuan mewujudkan ekosistem pembelajaran yang lebih holistik dan kondusif bagi melahirkan modal insan perhutanan berkemahiran tinggi.
-- BERNAMA
