KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Sejumlah 12 parti politik telah ditubuhkan di universiti setakat ini melalui inisiatif Parlimen Belia, yang berperanan sebagai platform memperkenalkan sistem perwakilan berkadar dalam usaha membangunkan kepimpinan muda negara.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata pendekatan itu bertujuan menguji keberkesanan sistem berkenaan sebagai alternatif kepada sistem first past the post yang digunakan pada masa ini.
Beliau menjelaskan bahawa melalui sistem perwakilan berkadar, pertandingan politik tertumpu kepada parti dan manifesto, sekali gus membolehkan parti memilih calon terbaik untuk mewakili rakyat selepas kemenangan dicapai.
“Dalam perwakilan berkadar ini, parti-parti mesti ditubuhkan dahulu di kampus. Kemudian parti berkenaan berkempen dan selepas menang, parti inilah yang akan memilih calon untuk menjadi ahli Parlimen,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara, ‘Sekolah Demokrasi: Parlimen Membentuk Generasi Pemimpin Masa Depan’, yang disiarkan Bernama TV malam ini.
Johari berkata sistem berkenaan juga berpotensi meningkatkan keterangkuman dalam Parlimen, termasuk penglibatan wanita, golongan minoriti dan wakil dari Sabah dan Sarawak.
“Bagi pengundian, kita sedang menguruskan perkara ini dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi membolehkan pendaftaran pengundi dilakukan secara automatik untuk golongan berusia 18 hingga 30 tahun,” katanya menambah bahawa pengundian akan dijalankan secara dalam talian dan dijangka boleh diakses mulai Mac ini.
Beliau berkata pelaksanaan sistem perwakilan berkadar dalam Parlimen Belia bertujuan memberi pendedahan praktikal kepada golongan muda supaya mereka dapat menilai keberkesanan sistem itu sebelum menentukan hala tuju demokrasi negara pada masa hadapan.
“Parlimen Belia adalah usaha penting bagi memperluas penglibatan golongan muda dalam sistem demokrasi, memberi pendedahan awal terhadap proses persidangan dan melatih mereka menyampaikan idea serta cadangan secara tersusun dan bertanggungjawab,” katanya.
Inisiatif ini selaras dengan usaha memperkukuh budaya demokrasi serta melahirkan generasi pemimpin masa depan yang matang dan berwibawa.
Pada Januari lepas, Johari berkata Parlimen Belia dijangka dapat dilaksanakan tahun ini, dengan persidangan pertama seawal Jun, selepas pilihan raya bagi memilih wakil-wakil Parlimen Belia yang dirancang berlangsung pada Mei ini.
-- BERNAMA
