DUNIA

BURSA MALAYSIA TERUSKAN PENINGKATAN DIPACU BELIAN SAHAM MURAH

03/02/2026 07:40 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) --Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini dipacu oleh belian saham murah, meneruskan pemulihannya daripada kemerosotan dicatatkan minggu lepas walaupun kehilangan momentum peningkatan selepas mencapai paras tertinggi pada sesi awal, kata seorang ahli ekonomi.

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 7.38 mata atau 0.42 peratus kepada 1,748.26 daripada 1,740.88 ketika ditutup pada penutupan Jumaat lepas.

Indeks penanda aras itu dibuka 15.21 mata lebih tinggi kepada 1,756.09, seterusnya mencapai paras tertinggi harian sebanyak 1,757.51 pada sesi awal dagangan sebelum tu turun kepada 1,742.68 pada sesi lewat pagi.

Keseluruhan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 662 berbanding 464, manakala 556 kaunter tidak berubah, 953 kaunter tidak didagangkan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan melonjak kepada 3.25 bilion unit bernilai RM3.34 bilion daripada 2.73 bilion unit bernilai RM3.43 bilion pada Jumaat.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata indeks diniagakan tidak berubah pada tengah hari, mencerminkan aktiviti pengambilan untung yang teratur dan kedudukan taktikal, bukannya kemerosotan dalam struktur pasaran asas dengan penyatuan yang berterusan di bawah paras rintangan jangka pendek sebanyak 1,760.

“Secara keseluruhan, indeks terus bertahan dengan kukuh di atas purata bergerak utamanya, menyokong pandangan bahawa sebarang kelemahan jangka pendek kekal bersifat pembetulan.

“Kecuali indikator momentum merosot secara ketara, kecenderungan teknikal yang lebih luas kekal membina ketika pasaran mengukuh menjelang pengumuman Indeks Pengurus Pembelian (PMI) akan datang dan data makro utama AS pada akhir minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI meneruskan momentum menaiknya selaras dengan sentimen serantau yang lebih kukuh.

“Pasaran di Asia kebanyakannya ditutup lebih tinggi, didahului oleh keuntungan kukuh di Korea Selatan dan Jepun dalam persekitaran kenaikan saham berkaitan kecerdasan buatan (AI), manakala pelabur menjejaki kenaikan semalaman Wall Street yang didorong oleh teknologi dan saham pembuatan cip.

“Tumpuan kini beralih kepada pendapatan korporat utama minggu ini, termasuk Amazon dan Alphabet,” katanya.

Di peringkat tempatan, Thong berkata pasaran tempatan terus menunjukkan nada positif, disokong oleh minat belian yang stabil dan peningkatan keyakinan dalam kalangan pelabur.

“Selagi indeks kekal di atas zon sokongan utamanya iaitu pada 1,730, ia sepatutnya menyediakan asas kukuh untuk peringkat kenaikan seterusnya. Kami menjangkakan FBM KLCI akan berada dalam julat 1,730-1,760 untuk minggu ini,” tambahnya.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank menambah 14 sen kepada RM11.94, Public Bank naik 8.0 sen kepada RM4.95, Tenaga Nasional meningkat 18 sen kepada RM14.12, CIMB susut 2.0 sen kepada RM8.56 dan IHH Healthcare berkurangan 8.0 sen kepada RM8.88.

Bagi saham aktif, Pharmaniaga naik 4.0 sen kepada 32.5 sen, Zetrix AI meningkat 1.0 sen kepada 81.5 sen, Gamuda susut 28 sen kepada RM4.14, Tanco turun 3.0 sen kepada RM1.33, dan Capital A menguncup 2.0 sen kepada 59.5 sen.

Saham paling aktif menyaksikan Malaysian Pacific Industries naik RM1.06 kepada RM33.06, Nestle meningkat 20 sen kepada RM112.20, UWC menokok 31 sen kepada RM4.40, Dutch Lady Milk Industries menambah 28 sen kepada RM33.28, dan Malayan Cement melonjak 25 sen kepada RM8.25.

Bagi saham paling rugi, United Plantations merosot RM1.06 kepada RM29.18, Fraser & Neave turun 96 sen kepada RM34.80, Petronas Dagangan berkurangan 88 sen kepada RM20.32, Hong Leong Bank menguncup 82 sen kepada RM24.98 dan RHB Bank susut 30 sen kepada RM8.15.

Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya ditutup pada 2 Februari, 2026 (Isnin), sempena cuti umum hari Thaipusam dan Hari Wilayah Persekutuan dan kembali beroperasi pada 3 Februari, 2026 (Selasa).

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 menambah 35.30 mata kepada 12,597.32, Indeks FBM Emas naik 30.42 mata kepada 12,776.41, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 22.25 mata kepada 12,297.57, Indeks FBM 70 susut 31.84 mata kepada 17,477.74 manakala Indeks FBM ACE merosot 15.95 mata kepada 4,707.05.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 14.27 mata kepada 21,525.45, Indeks Perladangan meningkat 8.49 mata kepada 8,373.05, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 1.88 mata kepada 177.44, dan Indeks Tenaga turun 8.85 mata kepada 750.08.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.73 bilion unit bernilai RM3.06 bilion daripada 1.58 bilion unit bernilai RM3.17 bilion pada Jumaat.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 1.03 bilion unit bernilai RM123.86 juta daripada 748.94 juta unit bernilai RM103.08 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 504.24 juta saham bernilai RM148.01 juta berbanding 392.11 juta saham bernilai RM150.43 juta pada Jumaat lepas.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 285.76 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (212.92 juta), pembinaan (180.82 juta), teknologi (262.74 juta), perkhidmatan kewangan (116.17 juta), hartanah (189.89 juta), perladangan (22.94 juta), REIT (23.19 juta), dana tertutup (127,700), tenaga (66.22 juta), penjagaan kesihatan (238.46 juta), telekomunikasi dan media (57.86 juta), pengangkutan dan logistik (39.37 juta), utiliti (28.85 juta) serta amanah perniagaan (16,600)

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan