JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS, MCMC KERJASAMA KESAN SINDIKET PENIPUAN GUNA NAMA IPK JOHOR

03/02/2026 07:32 PM

JOHOR BAHRU,  3 Feb (Bernama) -- Polis Johor bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengesan sindiket penipuan pembekalan makanan dan cenderahati yang menggunakan nama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor baru-baru ini. 

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata siasatan awal mendapati sindiket itu menggunakan nombor telefon yang beralamat di Sandakan, Sabah.

“Bagaimanapun setakat ini, masih belum ada penahanan yang dilakukan,” katanya ringkas dalam sidang media di IPK Johor.

Pada 27 Jan lepas, media melaporkan dua pengusaha makanan dan katering kerugian RM8,800 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan pembekalan makanan dan cenderamata tidak wujud yang menggunakan nama IPK Johor. 

Laporan daripada mangsa diterima pada 26 Jan, dengan masing-masing kerugian RM3,800 dan RM5,000.

Ab Rahaman dalam kenyataan sebelum ini berkata mangsa yang membuat penghantaran di IPK Johor menyedari ditipu apabila dimaklumkan tiada tempahan makanan dibuat selain gagal menghubungi suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan