MELAKA, 2 Feb (Bernama) -- Polis menahan empat lelaki dalam dua serbuan berasingan di sekitar Melaka Tengah dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah jenis heroin pada 28 Jan lepas.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata serbuan dijalankan antara 1 tengah hari hingga 4 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dengan dibantu pasukan khas Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah (BPJKKD) Melaka Tengah.
“Dalam serbuan pertama, dua lelaki tempatan berusia 35 dan 31 tahun ditahan di kawasan Tanjung Minyak dan pemeriksaan lanjut di sebuah rumah di Taman Bertam Setia menemukan 21 paket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 28.68 gram.
“… manakala dalam serbuan kedua yang dijalankan pada hari sama, dua lelaki berusia lingkungan 30-an ditahan di kawasan ladang kelapa sawit di Krubong, selain polis turut menemukan 50 paket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin dengan berat kira-kira 137.82 gram,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Christopher berkata polis turut menyita harta milik suspek, iaitu tiga motosikal bernilai RM11,500, sekali gus menjadikan nilai keseluruhan rampasan termasuk dadah dianggarkan RM17,000.
Beliau berkata hasil risikan awal mendapati kegiatan pengedaran dadah itu dipercayai untuk pasaran tempatan dan aktif sejak sebulan lepas.
“Ujian saringan awal air kencing ke atas kesemua suspek didapati positif dadah selain mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.
“Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 4 Feb ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
-- BERNAMA
