AM

ORANG RAMAI DIINGATKAN TIDAK LAKUKAN AKTIVITI BERBAHAYA DI JAMBATAN ANGKAT - PIHAK PENGURUSAN

02/02/2026 04:48 PM

KUALA TERENGGANU, 2 Feb (Bernama) -- Pihak pengurusan Jambatan Angkat Kuala Terengganu mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang perbuatan berbahaya seperti menyalakan suar di kawasan jambatan itu kerana boleh mendatangkan pelbagai risiko keselamatan kepada orang awam.

TI Properties Sdn Bhd dalam kenyataan menerusi Facebook memaklumkan pihaknya memandang serius tindakan sekumpulan penyokong pasukan bola sepak yang menyalakan suar di kawasan mercu tanda ikonik itu petang semalam.

“Penggunaan suar secara terbuka boleh mengundang pelbagai risiko keselamatan seperti kebakaran, letupan kecil, kecederaan kepada pejalan kaki serta ancaman terhadap struktur dan kemudahan awam.

“Perbuatan sebegini bukan sahaja membahayakan orang awam, malah merosakkan imej negeri dan reputasi jambatan itu yang menjadi lokasi utama tumpuan pelancong di bandar raya Kuala Terengganu,” menurut kenyataan itu.

Pihak pengurusan juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada terhadap mana-mana pihak atau individu yang didapati terlibat manakala kerjasama masyarakat amat dihargai dalam memastikan jambatan itu kekal sebagai mercu tanda kebanggaan Terengganu.

Terdahulu, 33 penyokong Selangor FC direman hari ini bagi membantu siasatan berhubung kekecohan yang dicetuskan di jambatan terbabit semalam.

Kejadian kira-kira 6.30 petang itu berlaku sebelum perlawanan Liga Super membabitkan Terengganu FC menentang Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor ketika dihubungi berkata mereka antara kira-kira 400 penyokong yang ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu malam tadi bagi menjalani saringan air kencing.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan