AM

KAWASAN HUTAN 121.4 HEKTAR TERBAKAR DI BIO DESARU

03/02/2026 12:06 AM

KOTA TINGGI, 2 Feb (Bernama) -- Kawasan hutan seluas 121.4 hektar dilaporkan terbakar di Bio Desaru sepanjang Jalan Tanjung Balau-Sedili di sini, sejak dua hari lepas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar Penolong Kanan Penguasa Bomba Soleh Nasir berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.16 pagi 31Jan.

“Setakat 11 pagi tadi, pemantauan menggunakan dron mendapati kebakaran semakin reda dengan banyak kawasan terpadam sendiri. Namun asap masih tebal susulan kebakaran yang melibatkan kawasan bertunggul kayu serta tanah gambut.

“Jentera pengorek kaut (backhoe) digunakan untuk membuka dua laluan di tengah kawasan terbakar sebagai akses mempercepat anggota membuat kerja pemadaman lokasi yang masih menyala dan berasap,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Soleh berkata operasi pemadaman menggunakan beberapa aliran pancutan air dengan sumber air terbuka dari parit berhampiran selain pembinaan fire break bagi mengawal kemerebakan api.

Beliau berkata akan terus melakukan pemantauan rapi di kawasan sekitar bagi mengelak api merebak keluar dari kawasan, terutamanya ketika keadaan angin kuat. 

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan