JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS KELUAR 247 SAMAN, SITA 117 MOTOSIKAL DALAM OPERASI BERSEPADU

02/02/2026 09:49 AM

JOHOR BAHRU, 2 Feb (Bernama) -- Polis mengeluarkan 247 saman dan menyita 117 motosikal dalam Operasi Bersepadu Motosikal yang dijalankan di sekitar bandar raya ini khususnya Jalan Ismail Sultan, bermula petang semalam hingga awal pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata operasi dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) itu bermula pada 5 petang hingga 1 pagi. 

Beliau berkata operasi dijalankan bagi membendung kegiatan samseng jalanan yang membahayakan pengguna jalan raya serta mengganggu ketenteraman awam dengan bunyi ekzos yang kuat. 

"Sebanyak 215 individu dan 203 kenderaan diperiksa, dengan 247 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, pengubahsuaian struktur atau ekzos, lampu hadapan silau serta tiada cermin sisi.

"Dua individu ditahan kerana disyaki menggunakan motosikal curi dan menunggang secara berbahaya. Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Raub berkata saringan air kencing mendapati enam individu berusia lingkungan 22 hingga 48 tahun positif dadah jenis methamphetamine, ketamin serta THC dan kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Seorang individu yang mempunyai rekod dikehendaki mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan turut ditahan bagi tindakan lanjut," katanya. 

Beliau berkata JAS turut mengeluarkan 21 kompaun dan 25 notis hadir semula pemeriksaan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Kerjasama bersepadu antara pihak polis, JAS dan MBJB akan diteruskan secara berkala bagi memastikan keselamatan jalan raya di samping mengurangkan gangguan ketenteraman awam di sekitar daerah ini, " katanya. 

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan