SUKAN

JDT PESTA GOL, FAISAL HALIM SELAMATKAN SELANGOR

02/02/2026 12:17 AM

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rentak kemenangan apabila menewaskan Imigresen FC (IFC) 5-0 pada aksi Liga Super 2025/2026 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam ini.

Aksi pada separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berhempas pulas memburu gol pembukaan sebelum JDT memecah kebuntuan pada minit ke-21 menerusi penyudah Joao Figueiredo, sekali gus mendahului 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Skuad Harimau Selatan menggandakan jaringan pada minit ke-59 hasil kesilapan pemain pertahanan pasukan pelawat Milani Bueno, yang tertampan bole ke gawang sendiri untuk menghadiahkan gol kedua kepada JDT.

Seminit kemudian, penyerang import sensasi Bergson Da Silva meledak gol ketiga JDT sebelum jaringan Marcos Guilherme pada minit ke-66 dan Da Silva pada masa kecederaan babak kedua melengkapkan kemenangan 5-0 di hadapan penyokong sendiri.

JDT kini gah di persada liga selepas mengumpul 48 mata daripada 16 perlawanan, meninggalkan pencabar terdekat Selangor di tempat kedua dengan perbezaan 16 mata.

Sementara itu, Terengganu FC (TFC) terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata dengan Selangor FC selepas terikat 1-1 pada aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus.

Skuad Penyu mendahului menerusi jaringan kapten pasukan Raianderson Da Costa atau Careca pada minit ke-43 hasil hantaran Ehson Panshanbe sebelum Selangor menyamakan kedudukan menerusi rembatan Mohamad Faisal Abdul Halim pada minit ke-58.

Skuad kendalian Kim Pan Gon itu terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Hugo Boumous dilayangkan kad merah pada minit ke-72, namun kelebihan itu gagal dimanfaatkan pasukan tuan rumah apabila kedudukan 1-1 kekal sehingga ke wisel penamat.

TFC kekal di tangga kelima liga selepas mengumpul 25 mata.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan