SUKAN

KELETIHAN SEKAT IMPIAN JIN WEI DI FINAL MASTERS THAILAND

01/02/2026 06:22 PM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 1 Feb (Bernama) -- Impian pemain perseorangan wanita profesional negara Goh Jin Wei untuk menjuarai Masters Thailand 2026 berakhir dengan penuh kekecewaan selepas terpaksa menarik diri — dipercayai akibat keletihan — pada set kedua perlawanan akhir menentang wakil India, Devika Sihag di sini hari ini.

Jin Wei yang melalui laluan sukar dengan memenangi perlawanan tiga set pada pusingan pertama, kedua, suku akhir dan separuh akhir, jelas kehabisan tenaga ketika berdepan Devika dalam perlawanan penentuan gelaran di Stadium Nimibutr di sini.

Pemain ranking ke-68 dunia itu tewas 8-21 pada set pertama sebelum menarik diri ketika ketinggalan 3-6 kepada Devika, yang berada di ranking ke-63 dunia, pada set kedua.

Jurulatih Jin Wei, Seto Danu Kusuma mengakui siri perlawanan tiga set sebelum ini memberi kesan besar terhadap tahap kecergasan anak buahnya.

“Saya sangat berpuas hati dengan prestasinya sepanjang kejohanan ini. Diharapkan dia dapat pulih sepenuhnya sebelum menyertai Cabaran Singapura hujung bulan ini,” katanya kepada Bernama.

Kejohanan ini menyaksikan penamat naib juara keempat buat pemain kelahiran Pulau Pinang itu dalam kejohanan terbuka, selepas turut muncul tempat kedua pada Masters Indonesia 2016, Terbuka Taiwan 2017 dan Terbuka Vietnam 2022.

Walaupun gagal menamatkan aksi final hari ini, Jin Wei tetap boleh berbangga apabila mencipta sejarah sebagai pemain perseorangan wanita Malaysia pertama mara ke final Siri jelajah Dunia Super 300.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan