AM

KUIL DI KUALA SELANGOR JADI TUMPUAN THAIPUSAM, PERLU NAIK TARAF RUANG PARKIR - EXCO

01/02/2026 04:20 PM

KUALA SELANGOR, 1 Feb (Bernama) -- Kuil Sri Subramaniar Swamy di sini memerlukan dana tambahan bagi melaksanakan kerja-kerja naik taraf kemudahan tempat letak kereta susulan peningkatan mendadak kehadiran penganut Hindu sempena sambutan Thaipusam setiap tahun.

Exco Sumber Manusia, Pembasmian Kemiskinan, Hal Ehwal Orang Asli dan Minoriti Selangor V. Papparaidu berkata kuil itu kini muncul sebagai antara lokasi tumpuan utama di negeri berkenaan selepas Batu Caves, sekali gus memerlukan perhatian khusus dari segi pembangunan kemudahan sokongan.

“Thaipusam ini adalah satu perayaan yang sangat disanjungi oleh penganut Hindu di seluruh Malaysia dan apa yang kami lihat semalam di Batu Caves serta hari ini di Kuala Selangor ialah kedua-duanya dipenuhi dengan lautan manusia meskipun tempatnya luas.

“Berdasarkan pemerhatian, lokasi sambutan Thaipusam berskala besar wajar diberikan keutamaan dari segi pembangunan infrastruktur bagi memastikan keselesaan dan kelancaran pergerakan penganut,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kuil itu hari ini. 

Beliau berkata walaupun kuil berkenaan mampu memuatkan kira-kira 10,000 penganut pada satu-satu masa, namun kemudahan parkir yang tidak mencukupi berpotensi menyebabkan kesesakan lalu lintas dan parkir berganda, khususnya semasa sambutan Thaipusam yang mencatat kehadiran sekitar 30,000 orang.

Justeru, beliau akan berusaha mendapatkan dana tambahan dengan mengadakan perbincangan bersama kerajaan negeri, termasuk menghubungi Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari bagi mendapatkan sokongan kewangan untuk kerja-kerja naik taraf kemudahan di kuil berkenaan pada masa akan datang.

-- BERNAMA


 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan